Logitech sedia mempunyai sejumlah penawaran perkakasan menyasarkan para peminat permainan video. Hari ini, Logitech menambah lagi penawaran mereka dengan memperkenalkan Logitech G560 Lightsync PC Gaming Speaker.
Pembesar suara ini hadir dilengkapi dengan empat lampu LED RGB yang mampu memaparkan sekitar 16.8 juta pilihan warna cahaya. Menariknya, pembesar suara ini turut hadir dengan integrasi sokongan teknologi Lightsync – dimana ia memaparkan pencahayaan segerak dan selari dengan pelbagai peranti lain yang menyokongnya.
Pengguna juga boleh memilih warna pencahayaan melalui perisian yang disediakan – atau menetapkan ia segerak dengan lagu yang sedang didengari atau berasaskan kepada permainan yang sedang dimainkan.
Dari segi sokongan teknologi, pembesar suara ini menyokong sistem stereo 2.1, sokongan input berasaskan Bluetooth, dan juga sokongan audio DTS:X Ultra 1.0 3D melaluinya.
Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi bilakah Logitech G560 ini akan memasuki pasaran tempatan.