Cari @ Amanz

Samsung Malaysia hari ini telah melancarkan telefon pintar terbaru mereka untuk pasaran tempatan, iaitu Samsung Galaxy S9 dan juga Galaxy S9+.

Telefon pintar ini memfokuskan kepada sokongan kamera melaluinya, disamping pada masa yang sama mengekalkan pelbagai ciri-ciri utama seperti kalis air, bicu audio, pengimbas cap jari dan sebagainya.

Samsung Galaxy S9

Dari segi spesifikasi, Galaxy S9 hadir dengan skrin 5.8-inci dengan paparan Quad HD, sementara Galaxy S9+ pula hadir dengan skrin 6.2-inci dengan paparan QUad HD. Selain perbezaan skrin, kedua-duanya juga berbeza dari segi penawaran memori dimana Galaxy S9 hanya menawarkan memori 4GB RAM, sementara Galaxy S9+ dengan 6GB RAM – serta penawaran bateri, dimana Galaxy S9 hadir dengan bateri berkapasiti 3000mAh dan Galaxy S9+ pula dengan bateri 3500mAh.

Samsung Galaxy S9

Pada bahagian kamera, Samsung kini menyertakan kamera dengan bukaan boleh-laras pada bahagian belakang. Kamera 12-megapixel dibelakang menawarkan bukaan f/2.4 untuk keadaan cahaya cerah, dan berubah kepada f/1.5 untuk keadaan cahaya malap. Galaxy S9+ juga turut hadir dengan sokongan dwi-kamera belakang untuk rakaman gambar bokeh yang cantik.

Samsung Galaxy S9

Galaxy S9/S9+ turut hadir dengan sokongan kamera hadapan 8-megapixel bersama-sama dengannya yang turut digunakan untuk tujuan nyah-kunci peranti berasaskan wajah. Samsung turut menyertakan sokongan rakaman gerak-perlahan 960fps dan juga sokongan animasi AR Emoji melaluinya.

Di Malaysia, Samsung Galaxy S9 ditawarkan pada harga RM3299 untuk versi 64GB. Untuk Galaxy S9+ pula, ia hadir dengan pilihan 64GB pada harga RM3799, 128GB pada harga RM3999, dan 256GB pada harga RM4399.

Samsung Galaxy S9

Samsung turut mengadakan jerayawara khusus bersempena dengan pelancaran Galaxy S9 di Malaysia. Mereka yang hadir dan membeli di jerayawara Samsung di Pavillion Kuala Lumpur, Queensbay Mall Pulau Pinang dan Aeon Bandar Dato Onn di Johor Bharu boleh mendapatkan beberapa ganjaran tambahan seperti pengecas tanpa-wayar, diskaun 30% untuk Gear Sport, dan diskaun RM50 untuk pembelian beberapa aksesori.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd