Cari @ Amanz

Kelebihan menjadi penulis veteran di Amanz ialah saya boleh memilih peranti mana yang mahu diulas. Oleh itu sejak dua tahun kebelakangan ini saya hanya memilih untuk menulis ulasan peranti-peranti utama sahaja. Tetapi azam tahun ini saya ingin melakukan sesuatu yang berbeza dari tahun lalu. Apabila peranti Xiaomi Redmi 5 muncul di makmal Amanz, saya terus memilih untuk mengulas peranti kelas permulaan ini.

Adakah peranti Android kelas permulaan berbaloi untuk dimiliki? Persoalan paling besar mungkin adakah ia boleh memenuhi keperluan seorang pengguna yang sudah biasa dengan peranti berspesifikasi tinggi seperti saya? Ulasan ini akan cuba menjawab kesemua persoalan di atas.

Spesifikasi

Xiaomi Redmi 5
Skrin 5.72″ HD+ IPS LCD (282 PPI)
Pemproses 1.8 x 8 GHz Snapdragon 450
Cip Grafik Adreno 506
RAM 3 Gigabyte
Storan 32 Gigabyte (MikroSD sehingga 128 GB)
Kamera Utama 12 Megapixel, f/2.2, PDAF
Kamera Depan 5 Megapixel
Bateri 3300 mAh (Pengecasan Pantas)
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano (Talam Hibrid)
NFC Tiada
Infra Merah Ya
Kalis Air Tiada
Sistem Imbasan Cap Jari
Harga Jualan RM 599
Tempoh Ulasan 2 Minggu

Memandangkan ia adalah sebuah peranti kelas permulaan, Redmi 5 hanya dilengkapi skrin 5.72″ IPS LCD dengan resolusi HD+. Seperti peranti-peranti popular semasa, Redmi 5 turut menggunakan skrin yang mempunyai nisbah 18:9. Sungguhpun begitu ia masih lagi mempunyai bahagian dagu dan dahi yang besar jika dibandingkan dengan peranti nirbingkai yang lain. Ini adalah kerana ia tidak menggunakan rekaan skrin bertakuk. Bagi mereka yang membenci takuk, rekaan Redmi 5 akan pasti akan menggembirakan anda.

Skrin IPS LCD yang digunakan mempunyai paparan yang tajam dan terang walaupun hanya menyokong resolusi HD+. Kekurangan terletak sudut pandangan yang terhad jika dibandingkan dengan skrin OLED. Di bawah cahaya matahari yang terang, sedikit sukar untuk membaca skrin. Kesemua ini adalah kelemahan turun temurun LCD yang menyebabkan ia kini mula digantikan dengan OLED. Bagi mengurangkan harga jualan Redmi 5, penggunaan OLED adalah mustahil.

Peranti dijana pemproses lapan teras Snapdragon 540, memori sebesar 3GB RAM dan storan 32GB pada model yang diulas. Kombinasi RAM dan storan ini sebenarnya agak besar bagi sebuah peranti kelas permulaan yang mampu milik. Bagi yang memerlukan storan lebih besar, terdapat sokongan kad mikro-SD sehingga 128GB .

Kad mikro-SD ini berkongsi slot di dalam talam SIM yang menyokong dwi SIM bersaiz nano. Talam adalah dari jenis yang perlu dicucuk dengan jarum untuk dikeluarkan dari tubuh peranti.

Kemampuan kamera hadapan adalah sebesar 12-Megapixel f/2.2 dengan sokongan flash serta PDAF. Kamera hadapan pula sebesar 5-Megapixel turut dengan sokongan flash.

Menguasakan peranti ialah bateri sebesar 3300 mAh yang hanya menyokong pengecasan 5V/2A sahaja. Tiada sokongan pengecasan pantas disertakan dan ia masih lagi menggunakan port pengecasan mikroUSB.

Tiada kemampuan kalis air, pengecasan tanpa wayar dan NFC disertakan. Seperti kebanyakan peranti Xiaomi, Redmi 5 walaubagaimanapun dilengkapi pemancar infra merah terbina yang membolehkannya berfungsi sebagai alat kawalan jauh. Xiaomi adalah antara pengeluar terakhir yang masih menyertakan fungsi yang semakin pupus ini. Secara keseluruhan spesifikasi Xiaomi Redmi 5 adalah amat baik bagi sebuah peranti kelas permulaan.

Rekabentuk

Keseluruhan peranti diperbuat daripada bahan logam. Agak mengejutkan kemasan peranti adalah amat baik bagi peranti dengan harga jualan sub-RM1000. Sisi peranti  yang diperbuat daripada logam amat sedap di dalam genggaman. Panel logam belakang mempunyai kemasan yang kusam. Ini memastikan ia tidak licin dan paling penting sekali tidak memerangkap kotoran dengan mudah.

Pada sisi kanan terdapat butang kuasa dan suara. Butang suara jenis rocker disusun di atas butang kuasa. Binaan butang adalah tegap dan teguh. Bergerak ke sisi kiri pula, hanya terdapat talam dwi-SIM.

Pada bahagian atas terdapat sebuah bicu audio 3.5mm dan pemancar infra merah. Pada bahagian bawah pula terdapat port pengecasan mikroUSB dan pembesar suara mono. Sungguhpun terdapat dua kekisi audio, sebenarnya hanya kekisi kanan mempunyai pembesar suara. Kekisi kiri hanya lohong kosmetik yang tidak berfungsi.

Sebuah pengimbas cap jari berbentuk bulat terletak pada panel belakang di bawah lensa kamera. Bercakap tentang lensa kamera, kami kurang menggemari rekaan lensa yang terkeluar dari tubuh. Ini membuatkannya sukar diletakkan rata di atas permukaan meja tanpa menggunakan kerangka. Kebarangkalian lensa tercalar meningkat dengan penggunaan rekaan sebegini. Berita baik di sini ialah Xiaomi menyertakan sebuah kerangka getah yang dengan setiap pembelian peranti.

Bahan binaan peranti serta kualiti kemasan Redmi 5 amat baik bagi sebuah peranti murah. Hanya beberapa tahun yang lalu peranti dengan harga jualan yang sama dijual dengan tubuh plastik, butang suara yang longgar dan kemasan yang kurang kemas. Pujian ingin kami berikan kepada Xiaomi kerana menghasilkan peranti mampu milik yang bukan sahaja kelihatan tetapi terasa premium di dalam tangan.

Antaramuka

Android 7.1.2 digunakan dengan pelancar MIUI 9.2. Versi Android yang digunakan adalah yang tidak terkini tetapi sekurang-kurangnya tampalan sekuriti peranti ini adalah sehingga Januari 2018. Dari segi antaramuka, MIUI mempunyai rekaan yang minimalis dan menarik. Ia tidak mempunyai talam aplikasi dan kesemua aplikasi yang dimuat turun terpapar pada skrin hadapan.

Dari apa yang kami dapat lihat, fungsi tambahan yang disertakan pada peranti utama seperti Mi MIX 2S turut disertakan pada Redmi 5 ini kecuali kawalan nirbutang Fullscreen. Bagi pembaca sekalian persoalan paling utama ialah adakah peranti ini lancar digunakan. Jika dibandingkan dengan peranti Xiaomi kelas pertengahan yang lain, kami menyedari terdapat sedikit sela masa.

Tatalan laman web yang panjang atau susur masa Twitter kurang lancar. Terdapat juga sedikit sela masa apabila menukar atau melancarkan aplikasi. Ini turut kami sedari apabila melancarkan peranti dari skrin multi-tugas. Masa menanti hanya beberapa milik saat tapi dapat kami sedari.

Sekali lagi ingin kami katakan kami sudah lama menggunakan peranti kelas utama dengan 6GB RAM. Jadi lengah masa yang sedikit ini sedikit menjengkelkan kerana sudah amat biasa dengan peranti yang selancar mentega. Bagi mereka yang tidak pernah menggunakan peranti utama, lengah masa ini mungkin tidak disedari.

Berikut adalah beberapa fungsi tambahan yang disertakan pada Redmi 5.

App Lock – Menghalang sesetengah aplikasi dari dilancarkan dengan menguncinya. Amat berguna untuk menghalang akses kepada galeri gambar dan Gmail.

Dual Apps – Melancarkan dua aplikasi yang sama seperti WhatsApp menggunakan log masuk berbeza.

Melancarkan kamera dengan pantas – Menekan butang kuasa sebanyak dua kali bagi melancarkan aplikasi kamera dengan pantas.

Mi Remote – Aplikasi terbina yang membolehkan peranti berfungsi sebagai alat kawalan jauh.

One-Handed Mode – Mengecilkan saiz paparan skrin bagi memudahkan kesemua bahagian skrin diakses. Ini dilakukan dengan menatal pantas dari butang home ke back atau home ke multi-tasking.

Quick Ball – Butang atas skrin yang boleh diubah kedudukannya. Fungsi ini adalah untuk mereka yang tidak menggemari navigasi atas skrin atau yang berasaskan gesture.

Security – Aplikasi yang membersihkan storan dan menganalisa tahap kesihatan peranti.

Second Space – Menyimpan data peribadi seperti gambar di dalam sistem yang hanya boleh diakses dengan menggunakan kata kunci.

Split Screen – Melancarkan dua aplikasi pada skrin serentak.

Themes – Bosan dengan tema yang disertakan? Pengguna boleh memuat turun pelbagai tema baru yang menggunakan aplikasi ini.

Kamera

Kamera utama 12-Megapixel f/2.2 yang digunakan dilengkapi sistem pemfokusan PDAF. Tiada sokongan penstabilan optikal OIS disertakan sebaliknya kesemua penstabilan dilakukan secara elektronik. Dari segi rakaman, kamera utama ini boleh merakam pada tetapan tertinggi 1080P 30 FPS sahaja. Kamera hadapan pula ialah sebesar 5-Megapixel dengan lensa fixed focus dan sokongan flash. Seperti kamera utama ia hanya merakam video pada resolusi maksimum 1080P 30FPS.

Terdapat sembilan fungsi terbina disertakan di dalam mod kamera gambar iaitu Panorama, Timer, Audio, Manual, Straighten, Beautify, HHT, Scene dan Tilt Shift. Di dalam mod rakaman video pula hanya fungsi Time Lapse disertakan. Terdapat pilihan merakan gambar pada nisbah 16:9 atau 4:3. Turut disertakan ialah mod HDR bagi membolehkan gambar diambil dengan imbangan cahaya lebih baik.

Antaramuka aplikasi kamera Redmi 5 adalah kemas dan amat mudah difahami. Komen negatif yang kerap kami dengar ialah ia kelihatan seperti antaramuka iOS. Ini boleh dianggap negatif atau positif bergantung kepada pengguna berbeza. Seperkara lagi ketika rakaman video, Redmi 5 tidak membenarkan gambar diambil pada waktu yang sama. Ini ialah fungsi yang ditemui pada peranti kelas pertengahan dan ke atas.

Kualiti Gambar

Kualiti gambar yang diambil amat bergantung kepada situasi pencahayaan dan penggunaan mod HDR ketika pengatup kamera ditekan. Apabila terdapat cahaya yang mencukupi, kualiti gambar yang diambil adalah agak baik. Kekurangan terletak kepada kualiti warna dan ketajaman objek. Apabila dilihat pada skrin telefon pintar, ia kelihatan baik tetapi apabila melihat gambar pada skala 100% di dalam komputer, dapat dilihat subjek yang kurang tajam.

Untuk mengambil gambar yang memuaskan, kami menyarankan penggunaan mod HDR sepanjang masa. Gambar yang diambil akan kelihatan lebih terang secara keseluruhan. Tetapi apabila mod HDR digunakan, pengguna perlu menunggu sekitar 2-3 saat sebelum butang kamera boleh dipetik sekali lagi. Xiaomi Redmi 5 bukan peranti yang direka untuk mereka yang ingin mengambil gambar dengan pantas.

Pada waktu malam kelemahan lensa f/2.2 Redmi 5 mula terdedah dengan teruk. Subjek di dalam gambar tidak akan kelihatan jika mod HDR tidak diaktifkan. Lihat gambar di bawah. Ia diambil dengan HDR dinyahaktifkan. Ia sebenarnya diambil beberapa saat selepas gambar pertama di atas. Perbezaannya adalah seperti langit dan bumi.

Di dalam situasi pencahayaan yang semakin rendah, dengan mod HDR sekalipun gambar yang diambil adalah tidak memuaskan seperti contoh di bawah. Subjek kelam, terdapat masalah noise dan blooming. Kamera utama. Kemampuan swafoto kamera hadapan juga kurang memuaskan. Penghasilan semula warna adalah kurang bermaya. Subjek tidak tajam dan dedahan sedikit berlebihan.

Tetapi ini ialah sebuah peranti kelas permulaan maka kesemua kelemahan ini memang sudah dapat dijangka. Kesimpulan yang boleh kami berikan mengenai kemampuan kamera Redmi 5 ialah ia hanya cocok digunakan ketika terdapat cahaya yang mencukupi atau HDR diaktifkan. Jika dua prasyarat ini tidak dipenuhi, kualiti gambar yang diambil adalah mengecewakan.

Audio

Hanya satu pembesar suara mono disertakan pada peranti ini. Ia terletak pada bahagian bawah. Pada tetapan paling tinggi bunyi yang dihasilkan lantang tetapi flat. Bunyi juga menjadi sedikit pecah pada tetapan ini. Tetapi apabila digunakan untuk panggilan pampas-tangan, ia adalah memadai.

Bicu audio pada bahagian atas peranti adalah sedikit kurang mesra pengguna. Ini adalah kerana saya secara peribadi lebih menggemari kedudukan bicu audio pada bahagian bawah. Kualiti audio adalah sekadar memuaskan. Kemampuan bass dan treble adalah sederhana. Seperti pada pembesar suara, audio yang dihasilkan adalah rata. Bagi penggemar audio berkualiti tinggi, Redmi 5 bukan peranti yang direka untuk anda.

Penanda Aras

Pemproses Snapdragon 450 yang digunakan dilengkapi lapan teras Cortex A53 pada kelajuan 1.8 GHz dan cip grafik Adreno 5o6. Apabila ujian penanda aras dilakukan, peranti mencatatkan 70310 markah dalam ujian Antutu, 439/370 markah dalam ujian Futuremark Slingshot Extreme dan 726/4003 markah dalam ujian Geekbench. Markah multi core Geekbench yang dicatatkan ini adalah lebih rendah berbanding  markah single-core yang dicatatkan oleh Exynos 9810 Samsung Galaxy S9+.

Kami memainkan beberapa permua popular seperti PUBG Mobile dan Asphalt. Permainan adalah lancar asalnya pada tetapan yang rendah. Peranti tidak menjadi panas ketika digunakan. Seperti kami katakan sebelum ini, terdapat sela masa ketika melancar dan menukar aplikasi. Walaupun saiz RAM yang disertakan adalah agak besar (3GB) bagi sebuah peranti kelas permulaan, bottle neck nampaknya wujud pada pemproses.

Bateri

Pada penggunaan sederhana peranti bertahan hampir 25 jam dengan skrin terpasang selama 6 jam 47 minit. Ini ialah hayat bateri yang amat baik bagi sebuah peranti yang hanya dilengkapi bateri sebesar 3300 mAh.

Sungguhpun begitu tiada sokongan pengecasan pantas disertakan. Peranti masih lagi mengecas pada tetapan 5V/2A iaitu standard QuickCharge 1.0 sahaja. Port pengecasan yang digunakan pula ialah mikroUSB. Dari pengalaman sepanjang tempoh ulasan, masa yang diambil untuk mengecas bateri sehingga penuh dari 0% peratus adalah sekitar 2 jam.

Pesaing

Dua pesaing Xiaomi Redmi 5 ialah Vivo V7 yang telah terjual di Malaysia dan Honor 7C pula baru dilancarkan pada bulan Mac. Ketiga-tiga peranti ini dilengkapi pemproses Snapdragon 450.

Peranti Pesaing
Xiaomi Redmi 5 Honor 7C Vivo V7
5.7″  IPS LCD HD+ (282 PPI) 5.99″ IPS LCD HD+ (269 PPI) 5.7″ IPS LCD HD+ (282 PPI)
1.8 GHz x 8 Snapdragon 450 1.8 GHz x 8 Snapdragon 450 1.8 GHz x 8 Snapdragon 450
Adreno 506 Adreno 506 Adreno 506
3 Gigabyte 3/4 Gigabyte 4 Gigabyte
32 Gigabyte (128 GB MikroSD) 32/64 Gigabyte (256 GB MikroSD) 32 Gigabyte (256 GB MikroSD)
Kamera Utama 12-Megapixel f/2.2, PDAF Kamera Utama 13+2 Megapixel. PDAF Kamera Utama 16 Megapixel, f/2.0, PDAF
Kamera Hadapan 5 Megapixel Kamera Hadapan 8 Megapixel Kamera Hadapan 24 Megapixel, f/2.0.
Tidak kalis air Tidak kalis air Tidak kalis air
3300 mAh 3000 mAh 3000 mAh
RM 599 RM 554* RM 999

Kesimpulan

Jadi adalah Xiaomi Redmi 5 berbaloi untuk dimiliki? Dari pandangan seorang pengguna peranti utama sudah semestinya tidak kerana kemampuannya yang jauh lebih rendah. Tetapi dengan harga jualan RM 599 sebuah, Redmi 5 berfungsi jauh lebih baik dari jangkaan awal kami.

Ya peranti mempunyai sedikit sela masa tetapi ia hanya selama beberapa mikro saat dan tidak menyebabkan pengguna terasa ingin mencampak peranti ke dinding. Ini ialah perasaan di hati saya sendiri yang hilang sabar dengan sela masa pada iPhone 6 Plus selepas kemaskini iOS 11.3. Sela masa pada iPhone 6 Plus milik peribadi lebih teruk dan menjengkelkan berbanding Redmi 5.

Peranti dilengkapi pelbagai fungsi tambahan setanding dengan apa yang kami temui pada peranti Xiaomi yang berspesifikasi lebih tinggi. Fungsi seperti multi-tingkap, mod satu tangan dan dual-apps adalah antara yang ditawarkan.

Kekuatan juga terletak pada bateri dengan SOT hampir 7 jam dan bertahan melebihi sehari pada penggunaan sederhana. Pembesar suara juga lantang walaupun kualiti audio kurang memuaskan. Bagi mereka yang memerlukan pemancar infra merah, Redmi 5 juga masih lagi menyokongnya.

Kekurangan paling nyata ialah kemampuan memproses dan kamera yang rendah. Dari markah penanda aras anda dapat melihat markah yang dicatatkan adalah rendah. Kamera pula hanya berfungsi dengan baik di dalam situasi pencahayaan yang baik. Pada waktu malam gambar yang diambil adalah amat teruk.

Bagi mereka yang memerlukan sebuah peranti pintar mampu milik dengan pelbagai fungsi tambahan, Xiaomi Redmi 5 ialah pilihan yang menarik. Ia jauh lebih murah berbanding Vivo V7 yang mempunyai spesifikasi yang hampir setanding. Peranti ini akan amat sesuai sebagai peranti permulaan untuk kanak-kanak yang tidak mementingkan kemampuan kamera yang tinggi.

Kelebihan Kekurangan
  • Peranti mempunyai binaan yang kemas dan tegap walaupun dijual pada harga yang mampu milik.
  • Terdapat pelbagai fungsi tambahan pada MIUI. Ia menyamai fungsi pada peranti utama Xiaomi.
  • Ketahanan bateri yang memuaskan.
  • Harga amat mampu milik.
  • Terdapat pemancar infra merah yang semakin jarang ditemui pada telefon pintar di pasaran.
  • Kemampuan kamera yang tidak memuaskan pada waktu malam.
  • Tiada sokongan pengecasan pantas.
  • Tiada NFC.
  • Sela masa apabila banyak aplikasi dilancarkan serentak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd