Snapchat Kini Kehilangan Nilai Pasaran Sebanyak $600 Juta Gara-Gara Iklan Yang Menghina Rihanna

Snapchat Kini Kehilangan Nilai Pasaran Sebanyak $600 Juta Gara-Gara Iklan Yang Menghina Rihanna

Diterbitkan pada Mac 16, 2018 oleh .

Pada bulan lepas, kami melaporkan bahawa satu kicauan oleh Kylie Jenner menyebabkan saham Snapchat jatuh sebanyak $1.3 billion, dan nampaknya nasib malang syarikat sosial media video tersebut sudahpun menjadi lebih teruk gara-gara iklan terbaru mereka.

Snapchat baru-baru ini dilihat memperlihatkan iklan yang memandang ringan terhadap kes kekejaman rumah-tangga yang melibatkan Rihanna dan Chris Brown. Iklan tersebut menanya para pengguna Snapchat jika mereka rela menampar Rihanna ataupun menumbuk Chris Brown.

Selepas Rihanna mengetahui tentang kehadiran iklan tersebut, beliau menaikkan satu status Instagram Story dimana beliau mengumumkan rasa kesal terhadap Snapchat kerana memperkecilkan masalah keganasan rumah tangga yang dihadapi beliau sebelum ini.

Rihanna kemudiannya meminta 60 juta pengikutnya di Instagram untuk membuang aplikasi tersebut daripada peranti-peranti pintar mereka. Dalam masa beberapa jam sahaja, saham Snapchat jatuh sebanyak 3.64 peratus, dan nilai pasaran syarikat tersebut menjunam sebanyak $600 juta (RM2.4 bilion).

Sebelum Rihanna memuat naik status Instagram Story tersebut, Snapchat telah hadir dengan kenyataan mengenai kekesalan mereka mengenai iklan tersebut, dan menyatakan bahawa iklan tersebut telah diluluskan secara silap. Akan tetapi, Rihanna tidak menerima alasan itu, dan terus hadir dengan kenyataan tersebut, yang menyebabkan saham Snapchat merudum pada penghujung hari semalam.


TIPS & ULASAN