Facebook kini nampaknya terus mencabar Twitch dan menarik komuniti permainan video untuk menggunakan platform mereka untuk tujuan penstriman. Diumumkan hari ini, Facebook akan mula menawarkan SDK khusus untuk para pembangun bagi mengintegrasikan sokongan penstriman langsung ke Facebook secara terbina pada permainan mereka.
Dengan ini, ia sekaligus memudahkan pengguna untuk menstrim permainan video yang sedang dimainkan secara langsung – tanpa memerlukan sebarang perisian tambahan.
Langkah ini juga akan memudahkan komuniti peminat permainan video untuk melakukan penstriman, selain membolehkan peminat sesuatu permainan video untuk menikmati pelbagai penstriman permainan terus pada Facebook. Seperti biasa, integrasi ini perlu dilakukan oleh penerbit sesuatu permainan sebelum pengguna dapat menstrim secara langsung permainan video mereka.
Sebelum ini, Facebook turut telah mengumumkan kerjasama dengan sejumlah syarikat e-sukan untuk strim secara langsung perlawanan dan kejohanan pada platform mereka.