YouTube telah memperkenalkan ciri Picture-in-Picture pada aplikasi mudah-alih di iOS dan Android sebelum ini – dimana YouTube akan terus memainkan sesuatu video berkenaan dalam tetingkap kecil pada bahagian bawah aplikasi walaupun pengguna beralih ke halaman lain dalam aplikasi YouTube.
Kini, melalui laporan 9to5Google, ciri yang lebih kurang sama sedang diuji pada web YouTube di desktop.
Melalui ujian yang ditemui hari ini, YouTube memainkan video pada bahagian penjuru bawah kanan web apabila pengguna menatal atau klik ke bahagian lain dalam web YouTube.com. Pemain media yang dikecilkan berkenaan turut mempunyai kawalan asas seperti menghentikan video, meneruskan tontonan dan sebagainya.
Dengan langkah ini, YouTube dijangka akan meningkatkan masa tontonan pada platform berkenaan, sekaligus mengelak pengguna terlepas sebarang perkara ketika pengguna melayari bahagian lain pada laman YouTube.
Buat masa ini, YouTube masih sekadar menguji ciri ini, dan tidak diketahui lagi bilakah ia akan diperkenalkan kepada semua.