Tahun lalu harga jualan telefon pintar edisi biasa akhirnya melangkaui RM 5000 sebuah terima kasih kepada pelancaran iPhone X. Hanya sedekad yang lalu, harga purata sebuah telefon pintar kelas utama adalah di bawah RM3000 sebuah.
Dengan pelancaran Samsung Galaxy S9+, akhirnya peranti Samsung dijual pada harga melangkaui RM4000 sebuah di Malaysia. Persoalannya bagi pengguna ialah berapakah sebenarnya kos menghasilkan peranti ini? Menurut laporan Tech Insights, kos menghasilkan sebuah Galaxy S9+ adalah dianggarkan ialah sekitar $379.50 (~RM 1487) sebuah.
Ini ialah kos untuk S9+ yang dijana pemproses Exynos 9810. Komponen termahal pada peranti ini ialah skrin Infinity Display SAMOLED yang berharga $72.50 (~RM 284) diikuti oleh pemproses yang berharga $68 (~RM 266). Secara keseluruhan kos menghasilkan S9+ adalah lebih tinggi berbanding S8+ ($343/~RM 1344) dan Note 8 ($369/~RM1446) tetapi lebih rendah berbanding iPhone X ($389.5/~RM 1526).
Harga yang dianggarkan ini hanya mengira kos komponen tanpa memasukkan kos logistik, pengiklanan serta kajian dan pembangunan peranti.