Microsoft Berjanji Untuk Mengurangkan Masa Kemaskini Windows Creators Update Ke 30 Minit Di Masa Akan Datang

Microsoft Berjanji Untuk Mengurangkan Masa Kemaskini Windows Creators Update Ke 30 Minit Di Masa Akan Datang

Diterbitkan pada Mac 20, 2018 oleh .

Dengan sistem operasi Microsoft Windows 10, syarikat perisian dari Redmond tersebut menggunakan sistem kemaskini berkala yang hadir melalui Windows Creators Update. Sistem kemaskini ini membolehkan Microsoft hadir dengan ciri-ciri dan kemasan sekuriti baru tanpa perlu menjual sistem operasi baru.

Akan tetapi, satu masalah yang hadir dengan cara kemaskini Creators Update ini ialah masa yang diperlukan untuk memuat-turun dan memasang kemaskini tersebut, yang dianggarkan mengambil masa selama 82 minit, dan untuk kebanyakan pengguna di luar sana, ini adalah terlalu lama.

Microsoft sedang berusaha untuk mengurangkan masa muat-turun dan kemaskini ini kepada 30 minit, dan mereka melakukannya dengan cara memindahkan beberapa proses yang biasanya dikemaskini secara luar talian ke atas talian untuk mempercepatkan proses muat-turun dan memasang kemaskini tersebut.

Menurut Microsoft lagi, mereka sudahpun menguji sistem kemaskini terbaru ini melalui Fall Creators Update, dan mereka mengatakan bahawa kemaskini tersebut mengambil masa 51 minit sahaja. Kini, Microsoft sedang bekerja keras untuk menurunkan lagi masa kemaskini tersebut kepada 30 minit sahaja supaya pengguna tidak perlu menunggu terlalu lama untuk menggunakan komputer mereka.

Sistem kemaskini baru ini hanya boleh digunakan oleh para pengguna Windows Insider buat masa ini. Jurucakap Microsoft juga berkata bahawa sistem kemaskini ini bakal hadir melalui Spring Creators Update akan datang, tetapi tidak menyatakan jika pengguna akan dapat melihat kelajuan kemaskini baru tersebut melalui muat-turun tersebut kelak.


TIPS & ULASAN