HTC dan Valve memulakan kerjasama untuk membawa peranti realiti maya HTC Vive mereka ke pasaran beberapa tahun dahulu, dan menunjukkan para pesaing mereka bahawa peranti Vive tersebut adalah peranti realiti maya terulung yang boleh dibeli.
Kini, HTC baru sahaja membuka pra-tempah untuk peranti realiti maya terbaru mereka, HTC Vive Pro, dan ia hadir dengan beberapa penambah-baikan yang diminta oleh ramai para penggiat realiti maya ini.
Diantara ciri-ciri terbaru ini termasuklah peningkatan resolusi paparan, dimana HTC Vive ini hadir dengan resolusi skrin 2880×1660, kemasukan fon kepala yang menjanjikan audio 360 darjah dan juga rekaan peranti yang lebih ringan dan mudah dipasang berbanding sebelum ini.
Bagi mereka yang inginkan kebebasan sebenar di alam realiti maya, HTC Vive ini juga hadir dengan sebuah aksesori baru yang dinamakan Vive Wireless Adapter, sebuah aksesori yang membolehkan anda menggunakan peranti Vive Pro ini tanpa sambungan wayar ke komputer anda.
Bercakap tentang komputer, HTC juga telah menyatakan spesifikasi komputer yang diperlukan untuk menggerakkan peranti HTC Vive Pro ini dengan sempurna:
- CPU: Intel Core i5-4590, AMD FX 8350 atau lebih baik
- Grafik: NVDIA GeForce GTX1060, AMD Radeon RX480 atau lebih baik
- Memori: Sekurang-kurangnya 4 GB RAM
- Video: DisplayPort 1.2 atau lebih baik
- Port USB: 1x USB 3.0 atau lebih baik
- Sistem Operasi: Windows 8.1, Windows 10
Tanda harga pra-tempah HTC Vive Pro ini ditetapkan pada harga $799 dan akan hadir di pasaran pada 5 April 2018 kelak. Bagi mereka yang ingin membeli perant HTC Vive yang pertama, HTC juga menurunkan harga untuk peranti tersebut ke $499, yang merupakan penurunan harga sebanyak $100.