Cari @ Amanz

Minggu lalu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Abdul Zahid Hamidi menyuarakan hasrat kerajaan untuk mengenakan cukai ke atas Facebook dan Google yang beroperasi di Malaysia. Cadangan ini akan dibawa ke kabinet dan hari ini Kementerian Kewangan sedang melakukan kajian terperinci mengenakan cukai ke atas syarikat teknologi dan media sosial.

Menteri kewangan kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata ini adalah atas dasar keperluan kerana syarikat seperti Google dan Facebook mengawal hampir 70% pengiklanan digital di Malaysia. Oleh itu pihak kementerian perlu mencari mekanisme dan model percukaian yang terbaik yang boleh diwartakan.

Untuk makluman, cukai ini adalah untuk syarikat – dan ia bukan sesuatu yang asing dalam arena perniagaan. Seperti semua sedia maklum, semua syarikat tidak terlepas daripada keperluaan membayar cukai. Walaupun syarikat gergasi seperti Google dan Facebook mempunyai pejabat di Malaysia – namun transaksi tidak melalui pejabat berkenaan, membuatkan mereka terlepas daripada membayar cukai di Malaysia.

Dengan jutaan pengguna Facebook dan Google di Malaysia, dan kedua-dua syarikat sendiri menjana jutaan ringgit melalui pengguna tempatan – kerajaan semestinya tidak ingin kehilangan pendapatan melalui pencukaian.

Sebelum ini sendiri, Indonesia turut telah hadir dengan cadangan yang lebih kurang sama supaya kedua-dua syarikat gergasi tempatan ini membayar cukai di Indonesia, dan telah mencapai kata sepakat dengan Google pada 2016 lepas. Australia turut telah membuat perubahan pada sistem cukai mereka, sekaligus membuat Google dan Facebook membayar cukai berdasarkan keuntungan yang dijana di negara berkenaan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd