Cari @ Amanz

IBM, syarikat pembina supercomputer dan komputer-komputer pelayan yang terkemuka di dunia nampaknya bakal hadir dengan komputer terbaru mereka yang dikatakan bakal mempunyai banyak kegunaan menarik.

Di acara IBM Think 2018, syarikat tersebut menunjukkan prototaip komputer terkecil mereka yang bersaiz 1mm x 1mm yang lebih kecil daripada sebutir garam. Dari segi kuasa perkomputeran, IBM menganggarkan bahawa ia mempunyai kebolehan yang hampir sama dengan sebuah cip pemprosesan x86 yang hadir pada era 90an.

Menurut IBM, komputer kecil ini ialah sebuah Sistem On A Chip (SoC) yang hadir dengan CPU, memori, storan dan modul komunikasi yang membolehkannya berinteraksi dengan komputer lain.

Pada saiz yang cukup kecil ini, IBM menjangkakan bahawa ia boleh digunakan sebagai sebuah perkakasan anti-penipuan, kecurian dan boleh dimasukkan didalam tanda harga ataupun pakej barangan. Dalam pada itu, komputer ini juga boleh memastikan samada bungkusan barang tersebut sudahpun dikompromi ataupun tidak.

Menariknya, IBM berkata lagi bahawa setiap satu komputer kecil ini akan dibuat pada harga 10 sen sahaja, dan ini boleh membuatkannya satu cara yang cukup murah untuk menjaminkan keselamatan produk-produk syarikat yang menggunakannya.

Buat masa ini, produk komputer kecil IBM tersebut masih berada didalam fasa prototaip, dan sedang diuji untuk keberkesanannya didalam pelbagai jenis produk. IBM juga tidak memberitahu bilakah komputer kecil ini akan hadir untuk pasaran.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd