Carian
Skandal Data Facebook : Apa Yang Anda Perlu Tahu?
March 22, 2018 Aman

Sejak beberapa hari ini, salah satu topik yang hangat dibincangkan adalah berkenaan dengan skandal data Facebook yang melibatkan syarikat analisa Cambridge Analytica.

Apa Yang Berlaku?

Pada 2013 yang lepas, salah seorang pengkaji akademik, Aleksandr Kogan telah hadir dengan sebuah aplikasi dinamakan “ThisIsYourDigitalLife” di Facebook. Melaluinya, ia menawarkan aplikasi berbentuk “ujian/bancian”, dimana pengguna akan perlu menjawab beberapa soalan padanya.

Aplikasi berkenaan telah digunakan oleh sekitar 300,000 pengguna Facebook. Namun, ia tidak sekadar mengumpulkan data-data seseorang pengguna sahaja, tetapi data rakan-rakan mereka juga. Untuk mendapatkan lebih banyak data pengguna, ganjaran turut ditawarkan untuk menyelesaikan sesuatu bancian melalui aplikasi berkenaan.

Melaluinya, sekitar hampir 50 juta data profil Facebook telah dikumpulkan – dan seterusnya Kogan turut berkongsi data berkenaan dengan Cambridge Analytica. Data berkenaan telah digunakan untuk membangunkan penyelesaian perisian yang membawa kepada penggunaan data dalam memprofilkan para pengundi dan sebagainya.

Penyalahgunaan Akses Data

Skandal data ini diperkatakan ramai kerana kaedah ia untuk mengakses data pengguna lain tanpa kebenaran. Walaupun sekitar 300,000 pengguna Facebook memberikan kebenaran untuk menggunakannya – namun ia turut mengumpulkan beberapa data-data rakan mereka yang dikumpulkan tanpa kebenaran.

Hal ini turut membawa kepada penyalahgunaan akses kepada platform Facebook tersebut sendiri.

Data yang dikumpulkan ini mungkin tidak memberikan kesan kepada beberapa pengguna. Namun, data berkenaan boleh dihimpunkan dan digunakan untuk pelbagai tujuan berbeza – termasuk untuk hadir dengan kempen sepatutnya ketika pilihanraya dan lain-lain.

Facebook sendiri dari tahun ke tahun telah menambah-baik platform perkongsian data kepada pembangun, dan mengehadkan apakah yang boleh diakses. Malah kini, pengguna turut boleh mengawal data apakah yang diberikan akses oleh mereka kepada sesuatu aplikasi sebelum menggunakan aplikasi berkenaan. Facebook mengatakan perubahan pada platform mereka telah dilakukan sejak 2014 lepas.

Apa Langkah Facebook Seterusnya?

Facebook mengatakan hari ini yang mana mereka akan menilai kembali platform mereka, dan menyemak pelbagai aplikasi yang mempunyai akses kepada data yang banyak sebelum perubahan pada 2014 lepas. Facebook juga akan mengaudit sebarang aplikasi yang mencurigakan, atau sekiranya mendapati penyalahgunaan, mereka akan menghalang akses kepada aplikasi berkenaan daripada platform Facebook.

Disamping itu, Facebook mengatakan mereka akan memberitahu kepada pengguna sekiranya sesuatu aplikasi yang menyalah-guna data mereka, selepas membuangnya. Malah, Facebook juga akan mematikan akses kepada sesuatu aplikasi yang tidak digunakan lebih 3 bulan oleh seseorang pengguna.

Facebook turut akan mengehadkan akses kepada data ketika log masuk oleh sesuatu aplikasi, yang mana akan memerlukan kebenaran daripada seseorang pengguna. Facebook mengatakan mereka akan memaparkan kawalan aplikasi yang mengakses data mereka dengan lebih jelas berbanding pada hari ini yang sedikit tersembunyi didalam bahagian tetapan.

Apa Anda Boleh Buat?

Bagi pengguna Facebook, anda boleh melihat kepada pelbagai aplikasi yang mempunyai akses kepada info anda dilaman gergasi berkenaan – dan seterusnya memilih untuk mematikan akses untuknya, atau terus membiarkan ia mengakses info anda. Sekiranya anda tidak lagi menggunakan sesuatu aplikasi berkenaan, kami nasihatkan anda supaya membuang akses kepadanya pada laman tetapan.

Anda juga turut boleh memilih untuk memadam akaun Facebook anda sekiranya anda tidak selesa dengan kaedah pengumpulan data dan sebagainya. Untuk makluman, selain Facebook, gergasi laman sosial berkenaan turut memiliki sejumlah aplikasi popular lain, termasuk Instagram dan WhatsApp.

Bagi kami sendiri, kami nasihatkan anda untuk menggunakan bukan sahaja Facebook, tetapi sebarang perkhidmatan atas-talian dengan bijak, dan tidak mendedahkan pelbagai maklumat peribadi yang sensitif melaluinya. Seperti biasa, baca pelbagai akses data yang diminta oleh sesuatu aplikasi sebelum membenarkannya untuk menggunakan data anda di sesuatu laman.

Komen