Google Dilaporkan Sedang Membangunkan Produk Berasaskan Rantaian-Blok Untuk Platform Awan

Google Dilaporkan Sedang Membangunkan Produk Berasaskan Rantaian-Blok Untuk Platform Awan

Diterbitkan pada Mac 22, 2018 oleh .

Google mempunyai beberapa perkhidmatan menarik untuk perusahaan, dan paling popular adalah Google Cloud. Terkini, menurut Bloomberg, Google dikatakan mungkin akan turut menyertai arena rantaian-blok, dan menawarkan ia kepada sebarang syarikat untuk menjalankannya pada pelayan mereka tersendiri.

Menggunakan teknologi rantaian-blok ini, ia akan menghasilkan lejer dan rekod kekal bagi pelbagai transaksi. Ini sekaligus membolehkan pelbagai pihak ketiga diatasi, dan transaksi disemak dengan mudah. Secara tidak langsung, perkara ini turut mempercepatkan beberapa transaksi – seperti pembelian kenderaan, rumah dan sebagainya kerana tidak lagi perlu melalui orang tengah dan lain-lain.

Sebelum ini, terdapat beberapa perkhidmatan menggunakan teknologi rantaian-blok ini, termasuk yang popular adalah penggunaan kriptowang.

Buat masa ini, ia masih tidak diketahui lagi sepenuhnya bagaimanakah penawaran Google dalam arena teknologi rantaian-blok ini. Kita mungkin akan mendengar lanjut mengenai hal ini dalam minggu-minggu akan datang. Selain Google, pihak Microsoft, IBM dan Intel turut dikatakan sedang membangunkan teknologi berasaskan rantaian-blok.


TIPS & ULASAN