Laporan Menunjukkan Apple Watch Mampu Mengesan Kadar Degupan Jantung Yang Tidak Sekata Dengan Ketepatan 97 Peratus

Laporan Menunjukkan Apple Watch Mampu Mengesan Kadar Degupan Jantung Yang Tidak Sekata Dengan Ketepatan 97 Peratus

Diterbitkan pada Mac 22, 2018 oleh .

Apple Watch generasi terbaru boleh dikatakan diantara peranti boleh-pakai yang paling maju di pasaran sekarang. Ia hadir dengan sokongan untuk data mudah-alih, GPS yang tepat dan juga kebolehan untuk mengesan degupan jantung dengan cepat dan mudah.

Pasukan yang membina aplikasi Cardiogram yang digunakan didalam peranti Apple Watch telah bekerjasama dengan beberapa profesor dari University of California untuk menguji ketepatan Apple Watch mengesan kadar degupan jantung pengguna.

Mereka mengambil sampel 139 juta degupan jantung dan jumlah langkahan dari 9750 pengguna aplikasi Cardiogram. Kesemua pengguna-pengguna aplikasi Cardiogram ini juga sedar mengenai data yang dikumpul, dan kesemua daripada mereka mendaftar untuk program UC San Francisco eHeart Study.

Data yang dikumpul ini menunjukkan bahawa DeepHeart, rangkaian neural yang menguasakan Cardiogram boleh mengesan kadar degupan jantung yang tidak sekata dengan lebih tepat daripada peranti EKG yang disahkan oleh USFDA sendiri.

Menurut laporan tersebut, Apple Watch generasi terbaru mampu membezakan degupan jantung biasa dengan fibrilasi atrium dengan kadar ketepatan 97 peratus. Ketepatan ini juga masih sama apabila para pesakit di UCSF diuji dengan peranti yang sama.

Para penyelidik tersebut juga menyatakan bahawa ini tidak bemakna bahawa Apple Watch boleh menggantikan peralatan EKG yang sebenar, tetapi ia dapat membantu pesakit untuk mengesan masalah jantung lebih awal.


TIPS & ULASAN