Bersama Lenovo – Hala Tuju Tablet Dan Masa Depan VR

Bersama Lenovo – Hala Tuju Tablet Dan Masa Depan VR

Diterbitkan pada Mac 22, 2018 oleh .

Pasaran tablet dilihat telah mengalami fasa penurunan yang drastik, selepas menerima persaingan yang hebat daripada pertumbuhan telefon pintar dengan skrin bersaiz besar. Selepas siri Samsung Galaxy Note diperkenalkan pada tahun 2011, pengeluar telah mula mengutamakan saiz skrin besar ini, yang dilihat lebih menepati penggunaan pengguna.

Dengan telefon berskrin besar, pengguna dapat memanfaatkan fungsi multimedia yang lebih imersif selain memudahkan sesi pembacaan ketika melayari web. Dengan saiz peranti yang besar juga, ia memberi ruang perletakkan yang lebih besar, sekaligus mampu memberi ketahanan bateri yang hampir menyerupai tablet.

Lenovo Miix 630

Namun tanpa disedari, peningkatan peranti dengan gelaran phablet ini telah mula mengurangkan pengguna untuk mengutamakan pemilikan tablet. Dengan saiz phablet yang cukup memadai, ia dilihat dapat menggalas tugasan harian seumpama di tablet tanpa perlu dibebani dengan saiz tablet yang lebih besar.

Bersempena dengan acara Mobile World Congress 2018, kami berkesempatan untuk bersama Matt Bereda iaitu Vice President, PCSD Consumer Marketing, Lenovo untuk membincangkan masa depan tablet dan teknologi VR yang masih kelihatan samar-samar pada masa ini.

Untuk soalan pertama, kami telah bertanyakan mengenai pertumbuhan pasaran tablet pada saat ini. Beliau berkata, pasaran tablet sedang mengalami fasa mendatar, dan akan mengalami fasa penurunan.

Namun pada tahun 2017, Lenovo berjaya untuk menduduki tangga 5 pengeluar teratas untuk pasaran tablet 2017, melalui peningkatan 8.9% berbanding 6.5% pada tahun sebelumnya. Bagi Lenovo, inovasi yang berterusan telah mendorong untuk pertumbuhan ini, berbanding bergantung kepada penghasilan tablet dengan penawaran fungsi standard.

Soalan seterusnya pula mengenai golongan manakah yang sering mendapatkan tablet pada saat ini, adakah ia masih kepada golongan pengguna atau komersial? Matt mengulas bahawa pengguna masih mendapatkan tablet pada hari ini, namun mereka lebih menyukai penawaran tablet yang boleh ditanggalkan (detachable) dan mempunyai nilai yang berpatutan.

Tablet dengan kebolehan ini hadir dengan aksesori terbina seperti papan kekunci, yang mana boleh ditanggalkan sekiranya ingin menggunakan bahagian tablet sahaja. Apabila tiba untuk tujuan produktiviti, pengguna hanya perlu menyambungkan ke papan kekunci semula untuk memudahkan proses penaipan teks dan dokumen.

Untuk pasaran Asia dan Eropah, pengguna juga sangat menitikberatkan harga peranti yang berpatutan, selain mempunyai penawaran yang baik untuk harganya. Bagi memenuhi permintaan ini, Lenovo telah hadir dengan siri Tab 4, dengan rekaan dan penawaran fungsi yang lebih mesra pengguna disamping sesuai untuk kegunaan seisi keluarga.

Lenovo Tab 4

Untuk golongan komersial, mereka lebih mengutamakan tablet dengan spesifikasi tinggi, yang sesuai untuk kegunaan jangka masa panjang. Golongan komersial ini juga turut mengutamakan penawaran tablet sahaja berbanding detachable, yang mana mampu bertahan lebih lama tanpa perlu pemasangan aksesori tambahan.

Soalan ketiga pula menyentuh bagaimana strategi Lenovo dalam menarik perhatian pengguna untuk pemilikan tablet ini. Matt berkongsi bahawa Lenovo banyak menekankan penggunaan yang unik, seperti kebolehan mod yang berbeza, untuk penawaran multi-kegunaan dalam satu peranti.

Seperti siri model Yoga, ia membolehkan pengguna mendapatkan bukan sahaja mod tablet, tetapi mod komputer dengan bukaan peranti 360-darjah. Melalui siri Miix pula, ia membolehkan pengguna menanggalkan bahagian tablet, dan menyambungkan papan kekunci untuk kegunaan produktiviti.

Selain penawaran rekaan yang unik, Lenovo juga mengutamakan produk yang memfokuskan kepada kekeluargaan, seperti yang hadir pada siri Lenovo Tab 4. Mereka telah menghadirkan Kids Mode, yang membolehkan ibubapa menetapkan paparan mesra kanak-kanak bersama sejumlah aplikasi yang boleh diakses sahaja. Selain itu, tablet ini juga dilengkapi dengan fungsi multi-akaun, bagi paparan yang lebih dioptimasikan untuk kegunaan ahli keluarga yang berbeza.

Untuk soalan yang seterusnya pula berkaitan dengan perkembangan teknologi VR pada saat ini. Matt berkongsi bahawa pasaran VR masih diperingkat awal dan Lenovo percaya teknologi ini sangat impresif untuk dibawa ke hadapan.

Lenovo telah mempunyai penawaran VR tersendiri seperti Lenovo Explorer iaitu set realiti gabungan (mixed reality) yang membolehkan pengguna menikmati pengalaman realiti maya (VR) bersama augmented reality (AR). Dengan realiti gabungan ini, paparan realiti maya menjadi lebih imersif, dengan penyertaan objek berasaskan AR di dalam paparan ini.

Lenovo MR

Lenovo juga menyentuh teknologi VR mempunyai banyak potensi untuk kegunaan komersial terutama dalam industri pembuatan dan perubatan. Tetapi sektor yang cukup efektif untuk kegunaan VR ini semestinya sektor pendidikan yang dapat memberi pengalaman pembelajaran yang lebih menarik. Seperti contoh, guru dapat memaparkan sesuatu lokasi kepada para pelajar melalui VR, bagi memudahkan sesi penerangan berkenaan lokasi tersebut.

Sebelum mengakhiri perbincangan, kami bertanyakan kembali soalan mengenai tablet, terutama nasib peranti tablet pada masa hadapan. Beliau menjawab permintaan tablet akan terus menurun, yang mana turut diasak daripada kemajuan peranti PC 2-dalam-1 selain mengalami tekanan daripada pasaran telefon pintar. Peranti 2-dalam-1 ini kian semakin nipis, selain menawarkan keselesaan daripada kehadiran papan kekunci, jangka hayat bateri, dan sambungan yang menyeluruh.

Lenovo Miix 630

Beliau turut memberi pendapat bahawa tablet akan terus berada di pasaran, tetapi model yang akan ditawarkan adalah lebih terhad. Seperti pasaran hari ini, kita telah melihat pengeluar sudah jarang menghasilkan tablet, sebaliknya memfokuskan kepada produk multi-kegunaan yang lebih memberi praktikaliti kepada pengguna.


TIPS & ULASAN