13 Institusi Pendidikan Yang Menawarkan Kursus Teknologi Digital Dibawah Program MDEC

13 Institusi Pendidikan Yang Menawarkan Kursus Teknologi Digital Dibawah Program MDEC

Diterbitkan pada Mac 26, 2018 oleh .

Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru sahaja dimumkan pada 15 Mac yang lalu. Jadi sudah tentu ramai antara pelajar lepasan SPM masih dalam dilema dalam pemilihan kursus untuk menyambung pengajian mereka. Hal ini sedikit sebanyak akan membuat mereka berfikir dan mempertimbangkan minat mereka untuk menyambung pelajaran. Jadi, buat para pelajar lepasan SPM, MDEC kini telah melancarkan satu program baru untuk mereka yang mempunyai minat terhadap pembelajaran digital, dinamakan sebagai Premier Digital Tech IHLs Initiative.

Program ini bertujuan untuk memupuk dan membimbing bakat anak muda agar menjadi lebih keatif dan inovatif terhadap minat mereka dengan dunia teknologi. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk mengenal pasti pelajar yang berbakat dan berkelayakan untuk melanjutkan pengajian dalam kursus berkaitan teknologi. Hal ini dilihat akan memberi impak terhadap pembangunan tenaga kerja digital seterusnya dapat membantu pertumbuhan ekonomi digital secara holistik.

Bagi menjayakan program ini, MDEC telah bekerjasama dengan pihak Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia untuk menganugerahkan 13 institusi pendidikan yang terdiri dari 8 universiti tempatan dengan anugerah Premier Digital Tech University dan 5 politeknik di Malaysia dengan anugerah Preferred Digital Tech Polytechnic. Institusi-institusi ini dipilih untuk memberikan latihan secara teori dan praktikal kelas pertama selain menjadi penanda aras agar menjadi contoh untuk institusi-institusi lain. Selain itu, mereka juga dipilih dengan harapan dapat memberi kesedaran terhadap kepentingan teknologi digital dan menjadi lebih yakin dengan kerjaya mereka pada masa akan datang dan seterusnya dapat membentuk komuniti yang berbakat dengan dunia teknologi masa hadapan.

Melalui inisiatif ini juga, kini pelajar lepasan SPM boleh membuat permohonan untuk melanjutkan pengajian mereka di institusi-institusi terpilih tersebut. Keistimewaan akan diberi kepada pemohon dimana ia membolehkan pemohon untuk memilih 3 pilihan terbaik daripada senarai IHL Premier. Namun, program ini bukan sahaja ditujukan kepada pelajar lepasan SPM, malah pelajar lepasan Matrikulasi, Diploma, STPM dan Asasi juga boleh membuat permohonan dan segala keputusan permohonan adalah tertakluk kepada syarat kemasukan minimum yang ditetapkan oleh sesebuah institusi itu sendiri.

Institusi tersebut adalah

  • Universiti Malaya
  • Universiti Teknologi Malaysia
  • Universiti Teknologi Mara
  • Taylor’s University
  • Multimedia University
  • Asia Pacific University Of Technology & innovation
  • Sunway University
  • Tunku Abdul Rahman University College
  • Politeknik: Ungku Omar, Sultan Mizan Zainal Abidin, Sultan Idris Shah, Mersing, Balik Pulau.

Untuk memohon, pemohon perlu memilih status mereka sama ada lepasan SPM atau Matrikulasi/STPM/Diploma/Asasi. Seterusnya, pemohon perlu mengisi maklumat peribadi mereka dan memilih 3 institusi yang diinginkan daripada 8 Premier Digital Tech University dan 5 Preferred Digital Tech Polytechnic. Kemudian, pemohon bolehlah memilih kursus yang ditawarkan oleh 3 institusi tersebut dan proses permohonan akan selesai setelah pemohon dihubungi oleh pihak Premier Digital Tech IHLs. Namun untuk universiti awam seperti Universiti Malaya, Universiti Teknologi MARA dan Univeristi Teknologi Malaysia, permohonan haruslah dibuat melalui permohonan UPU yang bakal tamat pada 10 April ini.

Program program yang ditawarkan kesemuanya memberi pendekatan yang strategik seperti pembelajaran berasaskan projek, pusat kerjaya Teknologi Digital, kesediaan pendidik untuk mengajar dan program kurikulum yang aktif serta Latihan Industri berkualiti tinggi. Institusi-institusi yang tercalon ini juga merupakan salah satu inisiatif pihak MDEC dan Kementerian Pengajian Tinggi dalam mempersiapkan generasi muda untuk peluang pekerjaan pada era akan datang. Melalui kajian statistik yang dilakukan oleh Jobstreet, berikut merupakan peratusan industri yang banyak membuka peluang pekerjaan kepada graduan-graduan.

Dengan penganugerahan institusi-institusi ini, ia dilihat dapat memberi peluang kepada para pelajar yang mengambil kursus teknologi digital untuk meningkatkan keupayaan pembelajaran mereka dan seterusnya membentuk komuniti yang berkualiti tinggi dan berbakat dalam bidang teknologi. Kerjaya dalam bidang digital teknologi ini juga menjanjikan para graduan dengan gaji yang lumayan sesuai dengan posisi dan kelayakan graduan. Hal ini justeru dapat menaikkan ekonomi Malaysia agar menjadi lebih kukuh dan berdaya saing dengan negara-negara maju yang lain.


Kesimpulannya, program ini dilihat dapat membuktikan bahawa kita berada di landasan yang betul dalam membentuk komuniti yang kreatif dan inovatif justeru dapat memenuhi permintaan kerja-kerja digital pada masa akan datang. Generasi muda inilah yang kita dapat harapkan untuk membantu meningkatkan ekonomi negara. Bagi pelajar-pelajar lepasan SPM mahupun Matrikulasi, Diploma, STPM dan juga Asasi, masih belum terlambat untuk anda membuat permohonan untuk menyambung pengajian dalam bidang digital teknologi di laman Premier Digital Tech IHLS dan juga permohonan UPU untuk universiti awam yang bakal tamat pada 10 April 2018.

Daftar: Premier Digital Tech IHLS

Penafian: Advertorial dari MDEC


TIPS & ULASAN