Cari @ Amanz

Program Android Certified diperkenalkan bagi memastikan peranti Android yang digunakan melepasi standard kualiti dan keselamatan. Tetapi terdapat banyak peranti murah dari pengeluar kurang ternama yang tidak melakukannya. Sebaliknya aplikasi GApps seperti Google Play Store dan Google Play Services dipasang secara sideloading.

Menurut laporan XDA, Google sudah mula menghalang pengguna melog masuk kepada perkhidmatan mereka pada peranti yang tidak bertauliah ini. Amaran akan terpapar pada skrin apabila pengguna cuba melog masuk. Apa yang dilakukan Google ini adalah baik bagi pengguna biasa yang mungkin risau tentang keselamatan data peribadi mereka tetapi menyusahkan pembangun serta pengguna custom ROM.

Halangan ini akan hanya muncul selepas percubaan log masuk ke peranti dilakukan selepas 16 Mac. Jika anda menggunakan peranti yang tidak bertauliah sebelum ini dan telah melog masuk, akses masih belum dihalang setakat ini.

Mereka yang menggunakan custom ROM turut menerima amaran ini walaupun menggunakan peranti yang bertauliah seperti Pixel. Bagi golongan ini mereka dibenarkan mendaftarkan akaun mereka kepada peranti tersebut dengan had sebanyak 100 kali. Ini berita yang kurang enak bagi mereka yang kerap bertukar-tukar ROM.

Bagi pembaca yang ingin mengetahui status peranti mereka, anda boleh pergi ke dalam Play Store. Sila ke bahagian Settings dan tatal ke bawah dan mencari Device Certification. Peranti yang selamat digunakan akan mempunyai perkataan Certified manakala sebaliknya akan mempunyai perkataan Uncertified.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd