Carian
UberEats Akan Dijenamakan Semula Sebagai GrabFood Bermula Mei
March 26, 2018 Fahim Zahar

Uber akhirnya menjual perniagaan Asia Tenggara mereka kepada Grab dengan nilai pegangan 27.5%. Grab bukan sahaja mengambil alih perkhidmatan perkongsian kenderaan Uber tetapi juga perkhidmatan penghantaran makanan mereka iaitu UberEats.

UberEats akan dikenali sebagai GrabFood bermula bulan Mei 2018. Buat masa ini, perkhidmatan GrabFood hanya ada di Malaysia dan Singapura dan Grab akan memperluaskan ke negara-negara lain dalam Asia Tenggara pada suku kedua 2018.

GrabFood juga akan memperkenalkan aplikasi baru mereka dan semua restoran dan harga daripada UberEats akan kekal. Akan tetapi, pengguna UberEats harus membuat pendaftaran baru untuk menggunakan GrabFood kerana segala data dan sejarah UberEats tidak dapat dipindahkan dan akan kekal dalam aplikasi UberEats.

UberEATS

Selain itu, pengenalan GrabFood juga akan turut memperluaskan penggunaan perkhidmatan GrabPay untuk pemandu-pemandu Grab. Penggunaan dompet digital Grab ini akan memberi sokongan dalam platform perkhidmatan kewangan mereka.

Bagi peniaga restoran yang berdaftar dengan UberEats pula, mereka dikehendaki menggunakan aplikasi GrabFood Driver dan GrabFood Merchant. Grab turut mengarahkan mereka untuk membuang aplikasi Uber Partner.

Pengambilalihan ini juga akan menjadikan Grab sebagai syarikat yang mengetuai perkhidmatan penghantaran makanan di Asia Tenggara.

Komen