Huawei P20 Dan P20 Pro Dilancarkan – Hadir Dengan Tri-Kamera 40-megapixel, Skrin Takuk, Kirin 970

Huawei P20 Dan P20 Pro Dilancarkan – Hadir Dengan Tri-Kamera 40-megapixel, Skrin Takuk, Kirin 970

Diterbitkan pada Mac 27, 2018 oleh .

Huawei hari ini secara rasminya telah memperkenalkan dua telefon pintar baru dibawah siri-P20, iaitu Huawei P20 dan juga Huawei P20 Pro. Kedua-duanya hadir dengan rekaan lebih kurang sama, iaitu dilengkapi dengan sokongan skrin takuk dihadapan, serta kamera yang dilengkapi sokongan kecerdasan buatan.

Huawei P20 Pro

Huawei P20 dan P20 Pro menawarkan sejumlah perbezaan, terutamanya dari segi spesifikasi dan juga ciri-ciri yang disertakan bersama dengannya.

Dari segi spesifikasi, Huawei P20 hadir dengan skrin 5.8-inci RGBW LCD Huawei FullView Display dengan nisbah paparan 18.7:9, dilengkapi cip Kirin 970, memori 4GB RAM, dan bateri berkapasiti 3400mAh.

Untuk Huawei P20 Pro pula, ia hadir dengan skrin sedikit besar, iaitu 6.1-inci OLED Huawei FullView Display, cip Kirin 970, memori 6GB RAM, dan bateri berkapasiti 4000mAh.

Huawei P20 Pro

Kedua-dua telefon pintar ini turut hadir dengan sokongan pengecasan pantas Huawei SuperCharge, selain sokongan integrasi kecerdasan pintar pada beberapa pengoperasian peranti, termasuk pada rakaman gambar. Kedua-dua telefon pintar ini juga menyertakan kamera hadapan 24-megapixel dilengkapi ciri mencantikkan wajah melalui pembelajaran mesin, serta sokongan pencahayaan 3D yang boleh dikawal selepas sesuatu gambar dirakamkan.

Untuk kamera belakang, kedua-dua peranti menawarkan sedikit perbezaan. Untuk Huawei P20, ia hadir dengan dwi-kamera Leica yang mengabungkan sensor 20-megapixel hitam-putih, serta 12-megapixel berwarna. Ia secara tidak langsung menawarkan rakaman yang baik lebih kurang seperti pada peranti Huawei sebelum ini.

Huawei P20 Pro

Tetapi, sekiranya anda inginkan sokongan rakaman yang lebih baik, boleh dapatkan Huawei P20 Pro yang hadir dengan tiga-kamera belakang – mengabungkan lensa 40-megapixel RGB, 20-megapixel monokrom, dan juga 8-megapixel telefoto. Dengan penggunaan lensa baru ini, ia turut menawarkan sokongan zoom optikal sehingga tiga kali, atau zoom hibrid sehingga 5-kali. Huawei turut menyatakan pengguna boleh mengawal kamera pada cahaya malap sehingga ISO 102400. Huawei P20 Pro turut hadir dengan sokongan kalis air IP67.

Kedua-dua peranti juga mampu merakamkan video pada gerak perlahan 960fps, selain turut hadir dengan Huawei AIS (AI Image Stabilization).

Selain daripadanya, ciri-ciri lain yang disertakan adalah lebih kurang sama, termasuk menjalankan EMUI 8.1 berasaskan Android 8.1.

Buat masa ini, harga jualan tempatan untuk kedua-dua telefon pintar ini masih tidak diketahui lagi.


TIPS & ULASAN