Cari @ Amanz

Bersama-sama pengenalan siri Huawei P20, pihak Huawei turut mengambil pentas utama untuk memperkenalkan telefon pintar bertemakan Porsche Design, iaitu Porsche Design Huawei Mate RS.

Telefon pintar ini kali ini bukan sahaja menawarkan penjenamaan dan sedikit perubahan pada rekaan, tetapi turut menawarkan sejumlah ciri-ciri premium yang masih tidak terdapat pada pelbagai telefon keluaran Huawei yang lain.

Huawei Mate RS

Huawei Mate RS ini dinamakan sempena dengan kereta Porsche 911 GT3 RS, hadir dengan skrin 6-inci pada resolusi 2K, dan menggunakan panel OLED melengkung. Menariknya, pada bahagian skrin juga, Huawei mengintegrasikan pengimbas cap jari secara terbina – sekaligus menjadikannya telefon pintar pertama Huawei dengan pengimbas cap jari pada skrin.

Seperti Huawei P20 Pro, ia turut menyertakan tri-kamera 40-megapixel – maka kita boleh melihat kepada ciri-ciri seperti 3 kali zoom optikal, sokongan rakaman gerak perlahan 960-fps, dan sebagainya.

PD Huawei Mate RS

Melengkapkan telefon pintar ini juga adalah sokongan pengecas tanpa wayar. Huawei Mate RS ini hadir dengan storan 256GB, tetapi turut ditawarkan dengan pilihan storan sehingga 512GB di China. Ia turut menyertakan speaker Dual SLS dengan Dolby Atmos untuk sokongan audio yang baik, selain ciri kalis air dan debu.

Harga jualannya masih tidak diketahui lagi buat masa ini. Sebelum ini, siri Porsche Design ditawarkan pada harga mencapai RM6999 oleh Huawei.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd