Cari @ Amanz

Huawei telah hadir dengan Huawei P1 pada 2012 yang lepas, dimana ia merupakan antara telefon pintar terawal Huawei dan hadir dengan rekaan antaramuka asas Android ketika itu. Sejak daripada pengenalannya, siri-P telah melalui pelbagai evolusi, dan paling terkini, Huawei telah pun melancarkan siri-P20 secara rasminya. Siri-P1 juga masih mengekalkan kepada sejumlah fokus utama, termasuk fotografi, dan juga rekaan peranti berkenaan sendiri.

Huawei sendiri mengatakan mereka menggunakan nama P20 berbanding dengan P11 untuk telefon pintar mereka kerana Huawei P20 membawakan perubahan yang besar dari segi sejumlah ciri-ciri berbanding dengan generasi sebelumnya.

Rekaan Dan Spesifikasi

Huawei P20 dilihat sebagai telefon pintar dengan penawaran asas, sementara Huawei P20 membawakan sejumlah spesifikasi yang lebih tinggi termasuk sokongan rakaman gambar tambahan.

Huawei P20 hadir dengan skrin 5.8-inci, dilengkapi cip Kirin 970, memori 4GB RAM, dan bateri berkapasiti 3400mAh, serta sokongan kalis air IP53. Huawei P20 Pro pula hadir dengan skrin 6.1-inci OLED, cip Kirin 970, memori 6GB RAM, dan bateri berkapasiti 4000mAh, serta sokongan kalis air IP67. Tiada sokongan mikro-SD pada kedua-duanya.

Kedua-dua telefon pintar ini hadir dengan rekaan skrin bertakuk pada bahagian atas, lebih kurang seperti iPhone X – tetapi bersaiz sedikit kecil. Melalui bahagian takuk, Huawei menyertakan kamera hadapan, dan juga speaker padanya. Pengguna yang tidak mengemarkan skrin takuk ini turut boleh menyembunyikannya melalui tetapan perisian – namun, ia boleh dikatakan tampak sedikit jelas pada Huawei P20 kerana panel yang digunakan hanya LCD berbanding pada OLED yang lebih tersembunyi melalui penggunaan OLED.

Huawei P20 Pro

Pada bahagian bawah skrin pula disertakan adalah pengimbas cap jari yang turut mengesan beberapa gesture untuk akses pantas – lebih kurang sama seperti beberapa peranti Huawei sebelum ini. Telefon pintar ini turut menyertakan sokongan nyah-kunci menggunakan wajah, tetapi kerana ketiadaan sensor khusus seperti iPhone X, maka ia mungkin tidak beroperasi pada tahap yang ditawarkan oleh Apple melalui iPhone X.

Kedua-dua telefon pintar ini menggunakan rekaan berasaskan kaca pada bahagian belakang, dan menggunakan bingkai aluminium pada bahagian tepi. Huawei P20 tampak sedikit ringan, berbanding Huawei P20 Pro yang tampak kukuh ketika dipegang pada tangan.

Huawei P20 Pro

Penggunaan kaca pada bahagian belakang juga turut membawa kepada pemerangkapan kesan cap jari pada telefon pintar ini, tetapi boleh diatasi dengan menggunakan kerangka luar tambahan. Walaupun menggunakan kerangka belakang berasaskan kaca, namun, peranti ini masih tiada ciri pengecasan tanpa-wayar buat masa ini.

Selain saiz dan spesifikasi, satu lagi perbezaan ketara pada Huawei P20 dan Huawei P20 Pro adalah bahagian kameranya. Huawei P20 hadir dengan hanya dwi-kamera belakang, sementara Huawei P20 Pro hadir dengan sokongan tri-kamera belakang.

Dan akhir sekali, dari segi rekaan, kedua-dua telefon pintar ini tidak menyertakan bicu audio 3.5mm, sebaliknya memerlukan pengguna menikmati audio melalui USB-C. Ia turut hadir dengan sokongan pengecasan pantas, serta ciri IR Blaster pada Huawei P20 Pro sahaja.

Kamera

Kebanyakkan pengguna pada hari ini inginkan sokongan rakaman gambar yang baik pada telefon pintar mereka. Dengan memberikan fokus pada ciri berkenaan, Huawei P20 dan Huawei P20 Pro menyertakan sokongan kamera yang sangat baik bersama-sama dengannya – malah mencatatkan skor DxO yang tertinggi buat masa ini. Kedua-dua telefon pintar ini masih mengekalkan penggunaan kamera berjenama Leica pada bahagian belakang.

Huawei P20

Huawei P20 hadir dengan sokongan dwi-kamera pada bahagian belakang, mengabungkan lensa 12-megapixel RGB dan juga 20-megapixel hitam-putih. Dengan menggunakannya, Huawei menjanjikan rakaman gambar pada cahaya malap dan waktu malam dengan lebih jelas, sokongan rakaman video gerak-perlahan 960fps, dan sejumlah ciri rakaman menarik yang lain.

Huawei P20 Pro

Huawei P20 Pro pula menyertakan sokongan rakaman gambar dan video yang jauh lebih baik melalui sistem tri-kamera mereka, mengabungkan lensa 40-megapixel RGB, 20-megapixel hitam-putih dan 8-megapixel telefoto. Dengan menggunakan lensa lebih berkuasa ini, ia menawarkan kebolehan rakaman gambar yang lebih baik pada waktu malam (dijayakan dengan mengabungkan hasil rakaman kepada resolusi sedikit rendah), ciri zoom optikal sehingga 3 kali, dan turut menyertakan kawalan Pro untuk kamera sehingga ISO 102400 (yang akan ditawarkan melalui kemaskini perisian). Kami sekadar menguji kamera 40-megapixel secara ringkas sahaja, dan daripada percubaan kasar, ia dilihat kamera ini merakamkan gambar pada saiz melangkaui 10MB setiap satu.

Huawei P20 Pro

Kedua-dua telefon pintar juga turut menyertakan ciri rakaman yang ditambah-baik melalui penggunaan kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin. Huawei melakukannya dengan mengesan apakah objek yang dirakamkan dan menggunakan mod khusus untuknya secara automatik. Ini sekaligus membawa kepada rakaman gambar yang lebih baik berbanding dengan kebiasaan yang mengambil sedikit lama untuk mengubah mod atau menggunakan mod automatik semata-mata.

Disamping itu, Huawei turut menyertakan sebuah ciri dinamakan Huawei AIS yang membolehkan anda merakamkan gambar berbentuk long-exposure dengan hanya menggunakan tangan tanpa perlukan tripod. Huawei mengatakan mereka menggunakan kecerdasan buatan untuk menstabilkan rakaman dan menghasilkan gambar yang cantik melaluinya.

Huawei P20 Pro

Untuk rakaman kamera hadapan pula, Huawei menggunakan kamera selfie 24-megapixel yang turut hadir dengan ciri kawalan pencahayaan 3D melaluinya – membolehkan anda mengubah pencahayaan selepas merakamkan sesuatu gambar.

Lain-Lain

Dari segi audio, Huawei P20 Pro hadir dengan sokongan pembesar suara stereo berbanding dengan Huawei P20 yang hanya menawarkan satu pembesar suara sahaja.

Disamping itu, menariknya melalui siri-P20 ini, pengeluar dari China ini turut memperluaskan kerjasama mereka dengan pihak Google. Kedua-dua telefon pintar ini adalah antara yang terawal hadir dengan Android 8.1 Oreo dan antaramuka EMUI 8.1. Melengkapkannya juga, pengguna turut boleh mengawal kamera pada peranti ini melalui Google Assistant, selain ciri ARCore yang disokong untuk menikmati kandungan realiti-gabungan (AR).

Huawei juga kini menyertakan Android Messages secara terbina menggantikan aplikasi SMS lama mereka. Melalui Android Messages, ia turut menyertakan sokongan permesejan RCS yang menawarkan ciri seperti permesejan berkumpulan, dan sebagainya.

Penutup

Huawei P20 Pro

Secara keseluruhan, Huawei P20 dan Huawei P20 Pro adalah antara telefon pintar yang baik. Sekiranya boleh memilih, semestinya ramai yang akan memilih telefon pintar Huawei P20 Pro sebagai pilihan mereka kerana menawarkan beberapa sokongan rakaman tambahan melaluinya, dan dilihat lebih kukuh ketika dipegang berbanding Huawei P20. Namun, seperti biasa, semuanya akan terjawab pada pengenalan Huawei P20 dan P20 Pro secara rasminya di Malaysia pada minggu hadapan. Dengan Mate 10 Pro yang dilancarkan pada harga RM3099, adakah kita akan melihat harga Huawei P20 Pro melangkauinya, ataupun membawakan tanda harga yang lebih kurang sama. Kami akan berkongsi lanjut contoh rakaman gambar, perbandingan, serta ulasan penuh telefon pintar ini dalam hari-hari akan datang.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd