Cari @ Amanz

Pasaran laptop gaming nampaknya bakal menjadi semakin menarik dengan kehadiran konfigurasi yang seakan-akan desktop gaming. Kehadiran CPU seperti Intel Coffee Lake dan teknologi grafik NVIDIA yang terkini, anda boleh memiliki kuasa gaming setaraf desktop didalam sebuah peranti yang hanya memakan kurang dari separuh kawasan yang diperlukan untuk sebuah gaming desktop.

Terkini, Acer dilihat memperkenalkan sebuah laptop gaming yang cukup baru dari siri Acer Predator mereka yang dinamakan Acer Predator Helios 500. Laptop ini boleh digolongkan didalam jenis laptop desktop replacement, dan ia hadir dengan spesifikasi yang cukup menarik.

Laptop Helios 500 ini dikuasakan oleh dua pilihan CPU Intel, termasuklah Intel Core i9-8950HK yang masih belum dilancarkan pada kelajuan 2.8GHz ataupun Intel Core i7-8750H pada kelajuan 2.2GHz. Dari segi memori, laptop ini dikatakan hadir dengan memori DDR4 sebanyak 16GB, manakala dari segi storan, ia hadir dengan storan SSD sebesar 256GB, dengan pilihan untuk storan tambahan jika pengguna memerlukannya.

Dari segi grafik pula, laptop Helios 500 ini hadir dengan kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1070, tetapi Acer tidak menyatakan samada ini adalah kad grafik NVIDIA Max-Q ataupun tidak. Laptop ini juga dipadankan dengan paparan skrin 17.3 inci pada resolusi Full HD yang juga hadir dengan kadar segar semula 144Hz dan teknologi paparan NVIDIA GSYNC.

Laptop gergasi ini juga dimuatkan dengan bilangan palam I/O yang mencukupi, seperti tiga port USB 3.0, dua port USB 3.1 Type-C dengan sokongan Thunderbolt, sebuah port HDMI, DisplayPort dan juga sebuah palam LAN untuk sambungan internet.

Laptop Acer Predator Helios 500 dengan CPU Intel Core i9 ini dikatakan akan dijual pada tanda harga $3500 (RM16000), manakala model dengan CPU Intel Core i7 ditetapkan pada harga $2630 (RM10,100). Tarikh pelancaran laptop ini masih belum diketahui buat masa ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd