Cari @ Amanz

Laptop gaming ASUS ROG GX501 Zephyrus diantara laptop gaming pertama yang memperlihatkan gabungan rekaan serba nipis dan prestasi desktop yang dibina untuk gaming didalam satu peranti.

Nampaknya maklumat terbaru mengenai kemaskini ASUS untuk laptop ASUS Zephyrus ini tertiris melalui laman web VideoCardz, yang menunjukkan bahawa laptop ini bukan sahaja akan menerima kemaskini CPU baru, tetapi juga rekaan papan kekunci yang sedikit berbeza berbanding dengan sebelum ini.

 

Menurut laman web tersebut, ASUS ROG GX501 Zephyrus ini akan menerima kemaskini CPU baru, iaitu Intel Core i7-8750H yang mempunyai nilai kelajuan Turbo Boost sehingga 4.1GHz.

Spesifikasi-spesifikasi lain yang dilihat pada model baru ini termasuklah jumlah memori DDR4 16GB dan storan SSD NVMe 512GB. Dari segi kad grafik, nampaknya model baru ini masih akan menggunakan kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1080 yang direka menggunakan teknologi Max-Q.

Dari segi rekaan, laptop ini dilihat akan hadir dengan rangka yang hampir sama, kecuali papan kekunci yang ditolak keatas untuk kelihatan seperti laptop gaming yang lain.

Bagi mereka yang tidak ingat, laptop ASUS ROG Zephyrus sebelum ini hadir dengan panel lebar dibahagian atas untuk memuatkan sistem penyejukan CPU dan GPU yang memerlukan ruang yang agak besar. Berdasarkan rekaan baru ini, ASUS mungkin akan memperlihatkan sistem penyejukan baru untuk laptop ini.

Tanda harga untuk laptop ini juga diperlihatkan, dan dikatakan akan hadir pada harga 3499 EUR dan £2599. Tarikh pelancaran untuk laptop ASUS ROG Zephyrus yang dikemaskini ini juga masih belum diketahui lagi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd