Hackathon merupakan salah satu acara yang sentiasa digemari berikutan kebolehan peserta untuk menghasilkan projek dalam satu masa singkat. Pelbagai organisasi telah mengadakannya dan mendapat hasil darinya. Baru-baru ini Tenaga Nasional Berhad telahpun mengadakan acara Hackathon mereka yang tersendiri dalam siri iCON Hackathon.
Siri ICON Hackathon dari TNB diadakan bagi mencari solusi-solusi pintar yang boleh dimanfaatkan oleh orang ramai. Bermula pada pertengahan tahun 2017, mereka telah mengadakan Hackathon yang menarik seperti menambah baik produktiviti pekerja menerusi penggunaan IoT, dan juga penambahbaikan sistem sokongan pelanggan menerusi fungsi ChatBot pada akhir tahun 2017.
Berbeza dengan siri terdahulu, siri Hackathon ini merupakan kali ketiga yang dianjurkan mereka dan memerlukan peserta memanfaatkan teknologi rantaian blok (Blockchain). Bertemakan pembangunan sumber manusia, peserta perlu membangunkan sistem berasaskan rantaian blok yang memberikan ganjaran dalam bentuk token, dan sistem tersebut haruslah telus sama seperti rantaian blok.
Terdapat 5 pasukan yang telah mempersembahkan projek mereka dan berikut merupakan tiga projek yang telah disenarai-pendek bagi mempersembahkan projek mereka di acara utama pada bulan Mei ini.
Team Midori – Pasukan ini telah mencipta sistem yang menggalakkan penggunaan sumber tenaga hijau (renewable energy). Pengguna umum dan juga ahli kumpulan pekerja TNB boleh mendaftar dan mendapatkan ganjaran apabila ahli keluarga dan rakan-rakan mereka mendaftar dalam program ini. Ia menggunakan Net Energy Metering yang terdapat pada panel solar photovoltaic pengguna. Pengguna akan menerima ganjaran dalam bentuk Token, dan boleh digunakan pada kedai-atas talian TNB.
EPC Blockchain – Syarikat ini telah mempersembahkan sistem rantaian blok yang menggalakkan penjimatan tenaga dan memberikan token berdasarkan penjimatan tenaga tersebut. Penjimatan tenaga ini juga boleh digunakan di rumah, kilang, pejabat, bangunan dan pelbagai lagi.
Gyantope Platform – Sedikit berbeza dengan yang pasukan yang lain, pasukan ini telah membangunkan platform perkongsian ilmu yang boleh digunakan oleh pekerja TNB. Menerusi platform ini, mereka akan diberi ganjaran untuk sebarang aktiviti seperti bertanyakan dan menjawab soalan, berkongsi video dan artikel, dan pelbagai lagi. Ganjaran tersebut diterima sebagai token, dan boleh digunakan dalam ekosistem TNB.
Keputusan pemenang untuk acara ini akan dilakukan pada acara TNB Blockchain Conference yang bakal diadakan sekitar bulan Mei 2018. Acara Hackathon sebegini patut dipopularkan oleh syarikat-syarikat besar dalam memajukan sektor ICT tempatan, sekaligus membawa kemajuan kepada pengguna.
Penafian: Advertorial dari TNB