Cari @ Amanz

Kanser ialah penyakit yang meragut ramai insan berpengaruh seperti mendiang Steve Jobs dan David Bowie. Berbilion telah dibelanjakan bagi memerangi penyakit maut ini. Para saintis dari Stanford University kini sedang bersedia untuk memulakan ujian “vaksin” kanser ke atas manusia.

Dalam ujian ke atas tikus makmal, vaksin ini mempunyai kadar kejayaan 97% dalam membanteras pelbagai jenis kanser seperti limfoma, kanser payudara dan kanser usus besar. Vaksin ini bukanlah vaksin dalam erti kata biasa kerana ia sebenarnya sebuah rawatan immunoterapi yang diberikan selepas kanser dikesan dan bukan mencegah kanser sebelum ia berlaku.

Ia disuntik terus ke dalam tumor kanser dan menggalakkan penghasilan sel T yang memerangi kanser. Ia bukan sahaja menghapuskan kanser pada tumor yang disuntik malah pada kawasan dimana kanser tersebut telah merebak. Sebanyak 35 pesakit limfoma akan menjalani ujian vaksin yang akan dimulakan pada akhir tahun ini.

Ujian ini adalah melihat keberkesanannya ke atas pesakit manusia. Terdapat banyak ujian yang dilakukan ke atas tikus makmal yang didapati tidak mendatangkan kesan yang sama pada pesakit manusia.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd