Cari @ Amanz

Data digital walaupun tidak wujud secara fizikal masih lagi milik pengguna. Ini diputuskan oleh Kesatuan Eropah di dalam peraturan General Data Protection Regulation (GDPR). Setiap pengguna harus diberikan akses kepada kesemua data milik mereka yang disimpan. Ia akan berkuatkuasa di Eropah bermula 25 Mei ini.

Menurut laporan Bloomberg, bagi mematuhi GDPR Apple akan mengemaskini laman Apple ID. Pengguna di Eropah akan diberikan akses untuk memuat kesemua data yang disimpan oleh Apple mengenai mereka seperti gambar, tetapan aplikasi dan senarai lagu dari Apple Music. Kesemuanya dapat dilakukan terus dari laman Apple ID. Pada awal fungsi ini akan hanya ditawarkan pada pengguna di Eropah pada awal Mei sebelum diberikan kepada kesemua pengguna secara berperingkat.

Sebelum ini pengguna perlu menghubungi Apple untuk melakukan kesemua di atas. Pengguna juga boleh mengubah maklumat peribadi, menyahaktifkan akaun sementara atau memadam kesemua data yang disimpan oleh Apple dengan mematikan akaun.

Kemaskini iOS 11.3 hari ini juga mula memaparkan skrin yang memaklumkan pengguna tentang data yang dikumpul oleh Apple menerusi aplikasi yang digunakan pengguna. Selepas skandal Facebook minggu lalu, ketelusan tentang penggunaan data mula diperkatakan. Data peribadi tidak digunakan tanpa kebenaran walaupun menggunakan perkhidmatan “percuma” seperti Facebook.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd