Cari @ Amanz

Beberapa minggu lepas, kita telah mendengar yang mana AirAsia bakal hadir dengan kriptowang tersendiri. Terkini, Tony Fernandes dilihat berkongsi lanjut mengenainya kepada Nikkei Asian Review, sekaligus berkongsi nama untuk kriptowang berkenaan yang bakal dikenali dengan nama BigCoin.

AirAsia dilihat akan mengubah mata ganjaran program kesetiaan BIG Loyalty mereka kepada teknologi rantaian blok, dan mula menawarkannya dalam bentuk kriptowang BigCoin.

BigCoin ini kelak akan boleh digunakan untuk menaik-taraf tempat duduk dalam penerbangan, membeli makanan dalam penerbangan, dan beberapa perkhidmatan lain. AirAsia juga dijangka akan menawarkan ICO untuk BigCoin, membolehkan kriptowang berkenaan dibeli oleh mereka yang berminat – tetapi ia akan mengambil masa beberapa bulan sebelum ditawarkan kepada umum.

Menariknya, Tony Fernandes turut berkongsi mengatakan bermula bulan April kelak, harga tiket pada laman AirAsia akan dipaparkan bukan sahaja dalam mata wang biasa, tetapi juga dalam bentuk BigCoin.

Buat masa ini, maklumat lanjut mengenai BigCoin masih menjadi tanda-tanya, termasuk penggunaan rantaian blok untuknya sama ada AirAsia akan membangunkannya sendiri, atau menggunakan platform sedia ada yang lain.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd