Pandang Pertama Xiaomi Mi MIX 2S – Peranti Utama Berspesifikasi Tinggi Yang Mampu Milik

Pandang Pertama Xiaomi Mi MIX 2S – Peranti Utama Berspesifikasi Tinggi Yang Mampu Milik

Diterbitkan pada Apr 2, 2018 oleh .

Minggu lalu Xiaomi Mi MIX 2S dilancarkan sebagai peranti kemaskini kepada Mi MIX 2 dengan beberapa penambahbaikan. Dari segi rekabentuk ia tidak membawakan perbezaan yang besar. Kemskini paling ketara dilihat pada pemproses lebih berkuasa Snapdragon 845 dan penggunaan dwi-kamera dengan zoom optikal.

Seperti biasa harga jualan yang lebih mampu milik berbanding pesaing menjadi pertaruhan Xiaomi. Persoalannya ialah adakah ia masih berbaloi atau dengan harga lebih mampu milik ia juga bermakna terdapat “jalan pintas” diambil sehingga mendatangkan masalah kepada pengguna? Ini ialah pandang pertama kami untuk Xiaomi Mi MIX 2S

Spesifikasi

Xiaomi Mi MIX 2S
Skrin 5.99″ IPS LCD FHD+ HDR (403 PPI)
Pemproses Qualcomm Snapdragon 845
CPU 4 x 2.8 GHz Kryo 385 Gold
4 x 1.7 GHz Kryo 385 Silver
Cip Grafik Adreno 630
RAM 8 Gigabyte
Muatan Dalaman 256 Gigabyte
Kamera Utama 12+12 Megapixel, f/1.8+f/2.4, OIS, Dual Pixel
Kamera Depan 5 Megapixel, f/2.0
Bateri 3400mAh (QuickCharge 3.0 + tanpa wayar)
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano
Jalur LTE 1,2,3,4,5,7,8,12,13,17,18,19,20,25,
26,27,28,29,30,34,38,39,40,41
NFC Ya
Infra Merah Tiada
Kalis Air Tiada
Sistem Imbasan Jari, Wajah
Harga Jualan sekitar RM 2477*

Skrin 5.99″ IPS LCD digunakan dengan resolusi FHD+ sahaja. Xiaomi masih belum bersedia berpindah ke teknologi OLED dan skrin beresolusi lebih tinggi. Dalam penggunaan biasa kami tidak menyedari masalah paparan. Imej yang terpapar adalah jelas dan tajam.

Hanya paparan warna tidak secantik yang boleh dilihat pada sebuah skrin OLED. Skrin juga menjadi sukar untuk dilihat apabila di bawah matahari yang terang. Kami menggunakan Mi MIX 2S ini di Bali selama dua hari. Sepanjang tempoh tersebut kami menggunakannya di luar dan agak sukar melihat apa yang terpapar pada skrin walaupun pada keterangan maksimum. Masalah ini tidak kami alami pada Samsung Galaxy Note 8 dan iPhone X yang turut dibawa.

Ketika pelancaran, peranti dikatakan menyokong sistem HDR. Tetapi apabila kami memainkan video HDR pada YouTube dan Netflix, peranti tidak menyokong paparan HDR. Tidak diketahui bilakah pihak peranti ini akan menyokong penstriman video HDR. Apabila kami menghubungi pihak Xiaomi, kami difahamkan peranti masih lagi menggunakan perisian percubaan jadi itu mungkin boleh dijadikan alasan.

Peranti yang diuji dijana pemproses Qualcomm Snapdragon 845, memori sebesar 8GB RAM dan storan sebesar 256GB. Ini ialah model paling premium Mi MIX 2S yang ditawarkan. Tiada sokongan kad mikro-SD pada peranti ini. Hanya terdapat sokongan untuk dwi-SIM bersaiz nano. Talam SIM yang digunakan diperbuat daripada logam dan memerlukan sebuah jarum untuk dikeluarkan dari tubuh peranti.

Sistem dwi-kamera menggabungkan sensor 12+12 Megapixel f/1.8+f/2.4 dengan teknologi pemfokusan Dual-Pixel serta sistem penstabilan OIS. Kamera sekunder yang digunakan menyokong zoom optikal sehingga 2X. Ia turut hadir dengan mod Portrait seakan iPhone X. Selain daripada itu ia turut mampu mengambil gambar dengan kesan Bokeh.

Dari segi kemampuan merakam video pula, Mi MIX 2S boleh merakam pada tetapan maksimum 4K 30FPS sahaja. Pada resolusi 1080P, ia juga tidak menyokong rakaman 60 FPS. Ini bagi kami adalah mengecewakan bagi peranti tahun 2018. Pada peranti pesaing, rakaman 4K 60FPS sudah mula menjadi standard. Bagi yang menggemari rakaman gerak perlahan, Mi MIX 2S boleh merakam pada tetapan 720P 240FPS atau 1080P 120 FPS. Ini membutakan tiadanya sokongan 1080P 60FPS membingungkan.

Kamera hadapan pula hanya sebesar 5-Megapixel f/2.0 dan masih lagi terletak pada bucu bawah sebelah kanan peranti. Beberapa gambar tertiris yang menunjukkan ia berubah kedudukan ke bucu atas kanan dan penggunaan skrin bertakuk nyata palsu. Kedudukan kamera hadapan yang aneh ini sebenarnya tidak mesra pengguna. Ia mudah tertutup dengan telapak tangan apabila dipegang.

Mengusai peranti ini ialah bateri sebesar 3400 mAh dengan sokongan pengecasan pantas QuickCharge 3.0 melalui port USB-C. Ia juga peranti pertama Xiaomi dengan sokongan pengecasan tanpa wayar berformat Qi.

Xiaomi Mi MIX 2S ialah antara peranti dengan spesifikasi terbaik tahun ini di atas kertas. Beberapa kelemahan Xiaomi Mi MIX 2 telah berjaya diperbaiki. Sekiranya spesifikasi yang tinggi adalah penting bagi anda, Mi MIX 2S tidak akan mengecewakan.

Rekabentuk

Rekaan peranti seperti kami katakan sebelum ini tidak banyak berubah berbanding Mi MIX 2. Kerangka mempunyai rekaan yang bulat pada bucu dan sisi. Ini berbeza dari rekaan berkotak Mi MIX asal.

Kerangka diperbuat sepenuhnya daripada aluminium dengan panel seramik pada bahagian belakang pada model yang kami gunakan. Panel belakang ini tercantum dengan kemas kepada kerangka aluminium dengan sisi yang dibulatkan.

Dari segi keperincian kemasan, kualiti binaan Mi MIX 2S akhirnya setanding dengan Huawei serta Samsung. Tiada lagi masalah cantuman kurang kemas, tajam dan mempunyai ruang kosong yang ketara. Dalam masa dua tahun, kualiti kemasan Xiaomi menunjukkan peningkatan yang positif.

Tetapi seperti yang kerap kami katakan mengenai peranti dengan panel kaca, ia amat licin untuk dipegang. Masalah memerangkap kotoran dengan maha-senang juga berlaku di sini. Panel seramik juga turut terkenal dengan betapa mudahnya ia retak jika peranti terjatuh. Penggunaan kerangka yang mampu menyerap hentakan adalah wajib di sini bagi mengelakkan pengguna mengeluarkan belanja yang tinggi untuk menukar panel yang rosak.

Pada sisi kanan peranti terdapat butang kuasa dan suara dari jenis rocker. Kemasan butang adalah tegap. Tiada komen negatif yang boleh katakan di sini. Sisi kiri pula terdapat slot untuk talam dwi-SIM. Sebuah pembesar suara mono dan port pengecasan USB-C terletak pada bahagian bawah peranti. Ya anda mungkin menyedari peranti ini tidak dilengkapi bicu audio 3.5mm. Ini tidak mengejutkan kerana peranti menggunakan semula kerangka Mi MIX 2 yang turut tidak mempunyai bicu audio.

Mi MIX 2S masih belum mempunyai sebarang kemampuan kalis air. Ini menjawab persoalan mengapa peranti dijual pada harga lebih mampu milik dari peranti pesaing. Sejak tahun lalu kami rasakan peranti-peranti utama seharusnya mempunyai ketahanan sekurang-kurangnya IP67. Jadi satu kekurangan ketara Mi MIX 2S ialah terletak di sini.

Apa yang disertakan ialah pengimbas cap jari pada panel belakang berbentuk bulat. Kedudukan pengimbas cap jari adalah mudah untuk diakses.

Xiaomi Mi MIX 2S mempunyai kemasan yang kini setanding dengan peranti-peranti pesaing yang dijual pada harga jauh lebih mahal. Tiada lagi masalah sambungan yang tidak rapat atau sisi yang tajam seperti model-model terdahulu. Peranti terasa berat di dalam tangan dan ini membuatkannya terasa lebih premium. Komen negatif yang boleh kami katakan tentang peranti ini ialah ia masih tidak kalis air serta tiadanya bicu audio 3.5mm. Bagi kebanyakan pengguna dua fungsi ini sudah jatuh ke dalam kategori wajib bagi peranti kelas utama.

Antaramuka

Sistem operasi Android Nougat 8.0 digunakan dengan pelancar MIUI 9.5. Antaramuka MIUI adalah antara yang paling kemas di antara pelancar pihak ketiga Android. Terdapat tiga butang navigasi atas skrin yang boleh diubah mengikut kehendak pengguna. Bagi mereka yang tidak menggemari butang navigasi, terdapat Fullscreen Mode yang membolehkan kesemua fungsi peranti dikawal menggunakan gesture. Kesemua gesture yang disokong MIUI 9.5 ini menyamai apa yang ditemui pada iPhone X,

Sedikit aneh bagi kami mengenai MIUI 9.5 ialah ia tidak menyokong sistem multi-window natif Android Oreo. Untuk menggunakan multi-window, pengguna perlu menekan butang multi-tasking terlebih dahulu diikuti oleh butang Split Screen pada bucu atas sebelah kiri peranti. Bagi kami sistem natif Android adalah lebih mesra pengguna. Tidak diketahui Mengapa Xiaomi menggunakan sistem mereka.

Dalam penggunaan selama dua hari kami mendapati peranti berfungsi dengan lancar. Aplikasi dilancarkan dengan pantas dan lebih banyak boleh dilancarkan tanpa perlu melakukan proses segar semula. Tiada sela masa disedari semasa melakukan tatalan. Tetapi fungsi kawalan gesture seakan iPhone X yang digunakan tidak selancar iOS. Kerap kali pergerakan jari tidak dikesan dengan baik. Rekan Mi MIX 2S mungkin kelihatan seperti iPhone X tetapi sistem berasaskan gesture yang digunakan masih perlu diperbaiki kerana mempunyai banyak kelemahan.

Dual Apps – Melancarkan dua aplikasi yang sama seperti WhatsApp menggunakan log masuk berbeza.

Melancarkan kamera dengan pantas – Menekan butang suara sebanyak dua kali bagi melancarkan aplikasi kamera dengan pantas.

One-Handed Mode – Mengecilkan saiz paparan skrin bagi memudahkan kesemua bahagian skrin diakses. Ini dilakukan dengan menatal pantas dari butang home ke back atau home ke multi-tasking.

Quick Ball – Butang atas skrin yang boleh diubah kedudukannya. Fungsi ini adalah untuk mereka yang tidak menggemari navigasi atas skrin atau yang berasaskan gesture.

Security – Aplikasi yang membersihkan storan dan menganalisa tahap kesihatan peranti.

Second Space – Menyimpan data peribadi seperti gambar di dalam sistem yang hanya boleh diakses dengan menggunakan kata kunci.

Split Screen – Melancarkan dua aplikasi pada skrin serentak.

Themes – Bosan dengan tema yang disertakan? Pengguna boleh memuat turun pelbagai tema baru yang menggunakan aplikasi ini.

Kesimpulan

Xiaomi Mi MIX 2S ialah peranti paling berkuasa dihasilkan oleh Xiaomi buat masa ini. Dengan pemproses Snapdragon 845 dan memori sebesar 8GB RAM ia menjamin kelancaran semasa digunakan sepanjang hari. Kami hanya dapat menggunakan peranti ini selama dua hari. Dari tempoh yang pendek ini kami tidak mengalami sebarang masalah menggunakannya kecuali ketika menggunakan apabila berubah ke mod kawalan gesture. Di dalam mod ini kawalan tidak selancar menggunakan butang navigasi atas skrin.

Kemasan Mi MIX 2S boleh diberikan pujian kerana terasa premium bagi sebuah peranti yang “mampu milik” jika dibandingkan dengan peranti utama lain di pasaran. Ia selesa di dalam genggaman dan tidak terasa murah seperti model-model Xiaomi terdahulu. Komen negatif masih lagi ialah tubuh seramik yang digunakan licin dan memerangkap kotoran dengan mudah seperti peranti lain dengan tubuh yang diperbuat daripada bahan kaca.

Di China Xiaomi Mi MIX 2S (8GB RAM + storan 256 GB) dijual pada harga sekitar RM 2500 sebuah. Ini meletakkannya sebagai peranti utama berspesifikasi tinggi yang paling mampu milik setakat ini. Bagi menjual peranti pada harga serendah ini Xiaomi tidak menyertakan sebarang kemampuan kalis air. Tetapi pada waktu yang sama mereka menyertakan sokongan pengecasan tanpa wayar. Peranti juga tidak menyokong kad mikro-SD.

Adakah peranti ini berbaloi untuk dimiliki? Kami hanya menggunakan peranti selama dua hari dan tidak mampu mengujinya secara menyeluruh. Tetapi apa yang boleh kami katakan peranti berfungsi dengan lancar walaupun menggunakan ROM Global bukan versi akhir. Kami tidak sabar untuk mengulas peranti ini apabila ia menggunakan ROM versi akhir yang menurut Xiaomi tidak mempunyai pepijat seperti versi semasa. Teruskan bersama Amanz untuk ulasan peranti ini jika ia memasuki pasaran Malaysia kelak.


TIPS & ULASAN