Sebelum ini kita sedia melihat HMD Global memperkenalkan beberapa peranti dengan nafas baru. Pada tahun lepas, mereka telah hadir dengan Nokia 3310, selain tahun ini menyaksikan mereka hadir dengan Nokia “Pisang”. Kini, laporan baru hadir daripada Android Authority mengatakan kini HMD Global sedang membangunkan Nokia 2010 yang diberikan nafas baru.
Nokia 2010 versi asal telah diperkenalkan pada 1994 yang lepas, dan kini ia dikatakan akan diperkenalkan semula bersempena ulang-tahunnya ke 25 pada tahun hadapan. Nokia 2010 baru ini dijangka hadir dengan skrin berwarna, sokongan rangkaian 4G LTE serta beberapa ciri-ciri baru.
HMD Global turut diperkatakan akan mengumumkan kerjasama dengan pihak Facebook, dimana melaluinya mereka akan turut menyertakan sokongan integrasi aplikasi seperti WhatsApp dan juga Facebook untuk telefon pintar ini.
Buat masa ini, ia masih pada peringkat pembangunan, dan mungkin kita akan mendengar lanjut mengenainya dalam bulan-bulan akan datang.