Di dalam dunia layar perak Perancis, Luc Besson ialah nama yang cukup besar. Sepanjang kerjaya yang melangkaui tiga dekad, Besson mengarahkan filem ternama seperti Leon The Professional, La Femme Nikita dan The Fifth Element. Studio milik beliau EuropaCorp pula menghasilkan filem Taken dan Valerian and the City of a Thousand Planets.
Menurut laporan Capital, pihak Netflix kini dalam perbincangan terakhir untuk mengambil alih studio filem ini. Jika diambil alih, Luc Besson dipercayai akan mengarahkan dua filem eksklusif untuk platform penstriman video ini.
Pada waktu yang sama ia memberikan harapan kepada peminat Valerian untuk mungkin melihat sambungan kepada filem pertama yang gagal di pawagam. Kegagalan Valerian yang merupakan filem termahal dalam sejarah Perancis ini menyebabkan EuropaCrop mengalami masalah kewangan.