Cari @ Amanz

Lanjutan daripada pengumuman mengenai CPU-CPU Coffee Lake baru dari Intel, mereka juga mengumumkan CPU desktop kelas pertengahan dan juga CPU voltan rendah untuk komputer kelas desktop.

Pengguna komputer biasanya tidak akan menaiktarafkan komputer mereka sehingga mereka benar-benar perlu melakukannya, dan dengan CPU Intel Coffee Lake, Intel menunjukkan bahawa kini terdapat pelbagai sebab kenapa ini adalah masa yang terbaik untuk mendapatkan komputer dengan CPU Intel Coffee Lake yang terbaru.

Pada penghujung tahun lepas, Intel melancarkan CPU Coffee Lake mereka yang hadir dengan spesifikasi atasan yang mungkin terlalu mahal untuk kebanyakan pengguna. Kini, Intel telahpun melancarkan CPU Coffee Lake arus perdana mereka, yang hadir melalui CPU-CPU seperti Intel Core i5-8600, Intel Core i5-8500 dan Intel Core i3-8300.

CPU-CPU ini dilihat memberi prestasi sehingga 4.3 kali ganda lebih baik berbanding dengan sistem komputer yang hadir lima tahun lepas, dan bukan itu sahaja, ia juga hadir dengan ciri-ciri lain seperti Ambient Computing yang memudahkan cara anda menggunakan komputer anda, disamping menggunakan jumlah tenaga yang lebih kurang berbanding dengan sebelum ini.

Jika anda memerlukan CPU yang benar-benar menggunakan tenaga elektrik yang sedikit, CPU Intel Coffee Lake siri-T juga diumumkan, dan kesemua CPU didalam siri ini dilihat mempunyai nilai TDP setinggi 35W sahaja.

Dalam pada itu, untuk memudahkan pengguna mengurangkan kos pembelian komputer, Intel juga mengumumkan kehadiran cipset-cipset baru untuk papan induk Coffee Lake ini, termasuklah cipset Intel H370, Intel H310, Intel Q370 dan Intel B360.

Kesemua cipset ini hadir dengan sokongan untuk sambungan USB 3.1, storan PCIe dan juga WiFi 802.11ac terbina didalamnya. Menurut Intel lagi, CPU-CPU ini akan hadir di pasaran tidak lama lagi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd