MSI Memperlihatkan Laptop MSI GT75 Titan – Hadir Dengan Konfigurasi Intel Core i9 Coffee Lake Dan Grafik NVIDIA GTX 1070 SLI
MSI

MSI Memperlihatkan Laptop MSI GT75 Titan – Hadir Dengan Konfigurasi Intel Core i9 Coffee Lake Dan Grafik NVIDIA GTX 1070 SLI

Diterbitkan pada Apr 3, 2018 oleh .

MSI, ataupun MicroStar International cukup terkenal dengan peranti laptop dan komputer gaming mereka, dan dengan pelancaran siri CPU Intel Coffee Lake yang terbaru, mereka juga dilihat mengumumkan laptop terbaru dan paling berkuasa mereka setakat ini dengan MSI GT75 Titan.

Laptop ini mempunyai paparan skrin bersaiz 17.3 inci yang hadir dengan pilihan resolusi UHD 3840×2160 pixel ataupun panel Full HD 1920×1080 pixel yang juga mempunyai kadar segar semula 120Hz, dan dikuasakan oleh CPU Intel Core i9-8950HK, memori DDR4 sehingga 64GB, dua storan M.2 SSD, satu storan M.2 SSD NVMe PCIe dan satu storan cakera keras.

Dari segi konfigurasi kad grafik pula, MSI memperkenalkan beberapa pilihan untuk pengguna, termasuklah satu kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1080, ataupun satu kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1070, ataupun dua kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1070 didalam konfigurasi SLI.

Laptop ini dilihat sebagai salah sebuah laptop pertama yang menggunakan CPU Intel Core i9 Coffee Lake, dan kesemua komponen didalam laptop ini disejukkan menggunakan sistem penyejukan MSI Cooler Boost Titan.

Bukan itu sahaja, laptop ini juga hadir dengan papan kekunci mekanikal yang direka khas oleh SteelSeries, manakala dari segi I/O pula, laptop GT75 Titan ini dilengkapi dengan lima port USB 3.1, satu port USB 3.1 Type-C, satu port HDMI dan satu DisplayPort.

Buat masa ini, MSI masih belum mengumumkan lagi bilakah mereka akan melancarkan laptop yang berkuasa tinggi ini, tetapi mereka memberitahu bahawa mereka yang berminat tidak akan perlu menunggu lama untuk membelinya.


TIPS & ULASAN