Minggu lalu Samsung Gear S2 menerima kemaskini yang membawakan antaramuka serta fungsi yang setanding dengan Gear S3 dan Gear Sport. Bagi pemilik pengesan kesihatan Gear Fit2 Pro dan Fit2 anda tidak dilupakan oleh Samsung kerana kedua-duanya turut menerima kemaskini perisian hari ini.
Dengan kemaskini ini beberapa penambahbaikan pada antaramuka diberikan. Terdapat fungsi baru Weight Management dan Fitness Program yang menjejak berat tubuh dan kesihatan pengguna. Pengguna boleh menjejak kalori yang diambil di dalam makanan sekaligus memudahkan mereka mengawal berat tubuh.
Widget Multi-workouts pula memudahkan pengguna menjejak aktiviti senaman yang dilakukan. Proses penukaran aktiviti yang ingin dijejak sebelum ini sedikit leceh untuk digunakan. Akhir sekali Health Summary akan memberikan ringkasan aktiviti harian pemakai. Kemaskini ini boleh dimuat turun menggunakan aplikasi Galaxy Apps pada peranti pintar anda.