Laptop Gaming MSI GS65 Stealth Thin Dilancarkan Dengan Skrin Bingkai Nipis 144HZ Dan Grafik NVIDIA GeForce GTX 1070 Max-Q
MSI

Laptop Gaming MSI GS65 Stealth Thin Dilancarkan Dengan Skrin Bingkai Nipis 144HZ Dan Grafik NVIDIA GeForce GTX 1070 Max-Q

Diterbitkan pada Apr 3, 2018 oleh .

Teknologi Max-Q yang diperlihatkan oleh NVIDIA tahun lalu membolehkan komputer riba gaming mempunyai rekaan yang lebih nipis berbanding generasi terdahulu. Ini menjurus kepada komputer riba berprestasi tinggi yang ringan sekaligus mengurangkan beban kepada pengguna untuk membawanya di dalam beg.

 MSI hari ini melancarkan MSI GS65 Stealth Thin, komputer riba gaming yang berkuasa tetapi tidak cukup ringan untuk dibawa sepanjang hari. Ia dilengkapi skrin 15.6 inci HD penuh 144HZ yang mempunyai bingkai yang nipis hanya setebal 4.9mm. Ini dipadankan dengan pemproses Intel Core i7- 8700H, memori sehingga 32GB DDR4 dan dua slot storan untuk SSD. Terdapat dua pilihan kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1070 Max-Q 8GB GDDR5 atau GeForce GTX 1060 6GB GDDR5.

Terdapat kemasan berwarna emas pada tubuh GS65 bagi memberikannya rekaan yang kelihatan premium. Terdapat papan kekunci dengan lampu RGB rekaan SteelSeries. Sistem warna dan kerdipan lampu boleh dikawal sendiri oleh pengguna atau mengikut aksi yang selari dengan apa yang dipaparkan pada skrin. Pilihan I/O yang diberikan adalah 3 USB 3.1 type-A, 1 Thunderbolt type-C, 1 HDMI 2.0, 1 mDP dan bicu audio 3.5mm.

Bateri yang disertakan pula sebesar 82 Wh dengan empat sel. Menurut MSI ini memberikan hayat penggunaan sehingga lapan jam. Kesemua perkakasan yang disenaraikan tadi berjaya dimasukkan ke dalam kerangka yang hanya setebal 17.7mm dan seberat 1.8 Kilogram. Di Amerika Syarikat MSI Stealth Thin dijual pada harga bermula dari $1999 (~RM 7744) sebuah.


TIPS & ULASAN