MIT Mencipta Set Kepala Yang Membolehkan Pengguna Bercakap Dengan Komputer Tanpa Bersuara

MIT Mencipta Set Kepala Yang Membolehkan Pengguna Bercakap Dengan Komputer Tanpa Bersuara

Diterbitkan pada Apr 5, 2018 oleh .

Pembantu maya seperti Google Assistant dan Siri amat mudah digunakan kerana kemampuannya memahami arahan suara yang diberikan pengguna. Ia boleh diarahkan untuk memadam lampu, menetapkan penggera dan melakukan pembelian barangan dengan hanya menggunakan kawalan suara.

Di masa hadapan penggunaan kawalan suara dijangka semakin meningkat dan menggantikan keperluan menaip. Ini boleh membawa kepada masalah bunyi bising pula apabila semua orang memberikan kawalan suara secara serentak. Oleh itu AlterEgo telah dibangunkan oleh penyelidik di MIT.

Set kepala ini boleh membolehkan arahan suara diberikan kepada peranti tanpa pengguna perlu mengeluarkan suara. Apabila dipakai oleh pengguna, AlterEgo mengesan isyarat neuro-otot (nueromuscle) pada wajah. Sebelum bercakap, otak akan mengeluarkan isyarat neuro-otot dan dengan mengesannya terlebih dahulu AlterEgo memahami arahan tanpa perlu bersuara.

Empat sensor digunakan pada AlterEgo untuk mengesan isyarat neuro-otot ini. Sistem audio pengaliran tulang (bone conducting) pula digunakan dan bercantum di belakang telinga pengguna. Tiada bunyi bising dihasilkan dan hanya pemakai boleh mendengar audio yang dihasilkan.

Buat masa ini AlterEgo hanya mampu memahami 20 arahan yang diberikan. Teknologi ini masih lagi di peringkat awal. MIT berharap dengan teknologi yang dibangunkan ini penggunaannya tidak terhad di pejabat malah akan membolehkan integrasi manusia dan kecerdasan buatan di masa hadapan.


TIPS & ULASAN