Intel Dikatakan Tidak Akan Memperbaiki Masalah Kerentanan Spectre Untuk CPU Lama

Intel Dikatakan Tidak Akan Memperbaiki Masalah Kerentanan Spectre Untuk CPU Lama

Diterbitkan pada Apr 5, 2018 oleh .

Masalah kerentanan sekuriti Meltdown dan Spectre dilihat diantara masalah sekuriti yang paling besar membelenggu syarikat pembuat cip pemprosesan Intel, kerana skalanya yang cukup besar sekali, dan ia membelenggu semua CPU-CPU syarikat tersebut sehingga ke produk zaman 90an.

Sebelum ini, Intel berjanji bahawa mereka akan memperbaiki kerentanan tersebut pada kesemua CPU-CPU mereka, tetapi kini nampaknya Intel tidak akan melakukannya, dan hanya akan memfokuskan usaha mereka untuk memperbaiki kerentanan pada CPU-CPU dua hingga 3 tahun lepas.

Menurut Intel, ini adalah kerana microcode yang ditulis oleh Intel untuk memperbaiki masalah-masalah kerentanan ini perlu hadir melalui kemaskini BIOS papan induk komputer, ataupun sistem operasi yang digunakan.

Kata Intel lagi, jika syarikat-syarikat pembuat perkakasan dan sistem operasi komputer ini tidak hadir dengan kemaskini untuk sistem-sistem lama mereka, semua kemaskini Intel tidak akan berkesan kerana mereka tidak akan menolak kemaskini tersebut ke pengguna-pengguna mereka.

Diantara cip-cip pemprosesan yang dikatakan tidak akan menerima kemaskini untuk kerentanan Spectre ini termasuklah Penryn (2007), Yorkfield (2007), Wolfdale (2007), Bloomfield (2008), Clarksfield (2009), Jasper Forest (2010), dan Intel Atom “SoFIA” (2015) tidak akan menerima kemaskini tersebut.


TIPS & ULASAN