Ulasan: Jabra Elite 65t – Pengalaman Audio Tanpa Wayar Sebenar

Ulasan: Jabra Elite 65t – Pengalaman Audio Tanpa Wayar Sebenar

Diterbitkan pada Apr 6, 2018 oleh .

Seribu lagu dalam poket anda. Itu mungkin satu slogan yang kerap dalam benak fikiran anda sekiranya anda peminat lagu dan senantiasa menggunakan fon telinga dimana-mana saja baik sewaktu pergi dan pulang ke ke pejabat, sewaktu bekerja, bersukan dan pelbagai lagi. Fon telinga merupakan satu aksesori yang penting bagi golongan sebegini dan untuk merasa pengalaman yang lebih bebas tanpa wayar, fon telinga tanpa wayar menjadi pilihan masa kini.

Peranti fon telinga tanpa wayar bukanlah sesuatu yang baru di pasaran namun permintaan terhadap peranti ini semakin meningkat apabila telefon-telefon pintar kelas premium sudah mula membuang bicu audio. Dipopularkan Apple iPhone 7, disusuli Google Pixel 2 dan yang terkini Huawei P20 telahpun membuang bicu audio, menjadikan fon telinga tanpa wayar satu keperluan bagi mereka yang inginkan pengalaman audio tanpa wayar.

Jabra Elite 65t telah diperkenalkan pada awal tahun ini, dan kini telah hadir ke pasaran Malaysia. Ia menjanjikan pengalaman tanpa-wayar yang sebenar, merujuk kepada ketiadaan wayar. Ia perlu diletakkan di corong telinga, dan mempunyai rekaan seumpama ‘in-ear’. Memandangkan tiada wayar yang bersambung diantara kedua-dua fon telinga ini, rekaannya sedikit besar bagi memuatkan bateri dan juga butang-butang kawalan.

Rekaan

Dari segi rekaan, pada fon telinga sebelah kiri terdapat butang kawalan tahap suara dan juga boleh digunakan untuk meneruskan ke lagu seterusnya, atau melakukan ulang dengar. Hanya satu butang terletak untuk sebelah kanan, dan boleh digunakan untuk menjawab panggilan, menghentikan lagu, dan melancarkan pembantu maya bergantung kepada sistem operasi telefon pintar yang digunakan.

Salah satu kekurangan padanya adalah apabila butang kawalan diletakkan pada badan fon telinga tersebut, pengguna mungkin akan berasa kurang selesa sewaktu menekan butang kawalan. Namun anda mungkin tidak akan berasa masalah sekiranya anda menambat peranti ini secara Bluetooth kepada jam tangan pintar anda dan dalam penggunaan saya, saya lebih kerap mengawal peranti ini menggunakan Apple Watch.

Bersama-sama Jabra Elite 65t, adalah pilihan earbud yang boleh digunakan bagi menyesuaikan peranti ini dengan lubang telinga pengguna. Kabel USB-Mikro turut disertakan bagi tujuan pengecasan bekas simpanannya. Rekaan bekas simpanannya tidaklah rumit, dan tidak terdapat sebarang butang. Hanya terdapat lampu yang menunjukkan status peranti tersebut sedang dicaj, atau sedang dikemaskini. Apabila meletakkan fon telinga ini kedalamnya, lampu pada fon telinga akan berkelip menandakan pengecasan sedang berlaku.

Menggunakan peranti ini secara berterusan, dari segi rekaan boleh dikatakan ia sedikit besar dan pengalaman memakainya membuatkan telinga berasa ‘penuh’ walaupun menggunakan corong earbud paling kecil. Tetapi dengan perasaan ini, memakainya tidak berasa ia akan tertanggal sewaktu melakukan aktiviti riadah seperti berlari.

Peranti ini mempunyai ketahanan IP55 yang membuatkannya sesuai digunakan ketika beriadah kerana pada ketahanan ini, ia sekurang-kurangnya dapat bertahan dari cuaca hujan namun tidak kalis air sepenuhnya.

Kualiti Bunyi & Prestasi

Salah satu perkara yang konsisten dengan Jabra adalah kualiti audionya yang bagus dan jelas. Tidak kira lagu jenis apa yang dimainkan, tahap Bass dan Treble yang dijana oleh peranti ini agak baik dan seimbang diantara keduanya. Tidak berlaku kes kejadian terlebih Bass atau terlebih Treble.

Bass yang dihasilkannya sedikit ‘punchy’, boleh dikatakan melebihi jangkaan saya untuk peranti mudah alih sebegini. Ia mungkin tidak dapat menyaingi fon telinga berjenis over-ear yang selalunya mempunyai corong pembesar suara yang lebih besar bagi memberikan lebih bass namun tidak menjanjikan kebebasan bergerak buat pengguna.

Pengguna perlu memuat-turun aplikasi Jabra+ bagi mengawal fungsi-fungsi tambahan yang terdapat pada Jabra Elite 65t. Menggunakan apikasi ini, pengguna dapat melaraskan bunyi mengikut kesukaan, seperti menginginkan lebih treble atau bass. Namun salah satu kekurangan yang nyata adalah pilihan yang boleh dilakukan pengguna terhadap tetapan sedia ada seperti Acoustic, Bass, Jazz, Pop, Loud dan sebagainya. Sekiranya pilihan tetapan ini tersedia, ia lebih memudahkan pengguna yang tidak biasa menetapkan Equalizer secara manual.

Menggunakan peranti ini yang berjenis ‘in-ear’, ia boleh membuatkan bunyi dari luar tidak dapat didengari kerana earbud yang disumbatkan bertindak sebagai peredam pasif untuk bunyi. Ini mungkin boleh membahayakan pengguna sekiranya sedang melakukan sesuatu dan tidak akan mendengar bunyi-bunyi luar, seperti bunyi kereta, bunyi pengumuman di lapangan terbang dan bunyi telefon pejabat.

Terdapat fungsi HearThrough pada Jabra Elite 65t, yang akan merakam bunyi persekitaran dan boleh digabungkan dengan lagu yang sedang dimainkan. Sekiranya fungsi ini dimatikan, maka pengguna tidak akan mendengar sebarang bunyi persekitaran. Pengguna juga boleh menetapkan kadar penggabungan antara bunyi persekitaran dengan bunyi lagu menerusi pilihan Mix.

Apapun apabila fungsi ini diaktifkan, boleh dikatakan bunyi dari persekitaran sedikit janggal. Ini mungkin kerana bunyi tersebut sebenarnya didengari oleh mikrofon peranti ini, dan dicampur-adukkan dengan lagu yang sedang dimainkan. Pada kebanyakan masa, saya mematikan fungsi ini kecuali sewaktu memandu kerana saya perlu mendengar bunyi enjin untuk mengagak kelajuan atau mendengar sekiranya terdapat motorsikal di sudut pandangan buta pemanduan.

Dari segi ketahanan bateri, ia boleh beroperasi selama 5 jam dan bekas pengecasan memberikan tambahan caj selama 15 jam. Pengguna perlu mengecas bekas pengecasan menggunakan kabel Mikro-USB yang disediakan. Pengguna juga boleh memilih sekiranya ingin menggunakan fon telinga pada sebelah kanan sahaja bagi pengoperasian seumpama fon bluetooth.

Kesimpulan

Pada harga RM 799, Jabra Elite 65t ini dilihat tampak berbaloi sebagai alternatif kepada pesaing terdekatnya seperti Apple AirPods. Malah, kualiti audionya yang terjamin dari Jabra yang mempunyai lebih pengalaman dari segi kualiti audio. Ia juga hadir dengan jaminan selama 2 tahun.

Mungkin terdapat sedikit kelemahan dari segi rekaan yang sedikit besar dan mungkin boleh membuatkan pengguna yang tidak biasa menyumbatkan telinga dengan peranti sebegini akan mengambil sedikit masa untuk membiasakannya.

Sewaktu artikel ini ditulis, pra-tempah untuknya adalah menerusi halaman 11Street dan pembeli akan turut menerima baucar RM50 yang boleh digunakan.

Pro

  • Kualiti bunyi yang sangat baik
  • Fungsi HearThrough boleh membantu pendengaran persekitaran
  • Ketahanan bateri yang baik

Kontra

  • Rekaannya membuatkan telinga berasa penuh
  • Aplikasi Jabra+ yang kadangkala mempunyai pepijat (Aplikasi yang dikemaskini tidak disertakan fungsi HearThrough)
  • Mungkin lebih baik jika kawalannya berasaskan sentuh (Seperti Jabra Revo Wireless atau Apple AirPods)

Beli: Jabra Elite 65t di 11Street


TIPS & ULASAN