Mac Pro tidak dikemaskini sejak 2013. Apple telahpun menjanjikan komputer desktop paling berkuasa dan mensasarkan pengguna profesional ini akan dikemaskini. Menerusi temubual bersama TechCrunch, kini kita mengetahui ia akan akhirnya dilancarkan pada tahun 2019.
Apple sebelum ini menjadualkan untuk memperkenalkan Mac Pro baru dengan rekaan berbentuk modular untuk tahun ini. Namun, ia nampaknya mengalami sedikit pengangguhan, dan kini Apple menyasarkan untuk memperkenalkannya sekitar 2019 kelak.
Ini disahkan sendiri oleh Phil Schiller. yang merupakan ketua bahagian pemasaran di Apple. Bagi memastikan Mac Pro baru ini akan memenuhi kesemua keperluan profesional, pasukan Pro Workflow Team telah ditubuhkan di Apple. Pro Workflow Team akan memastikan perisian dan perkakasan akan berfungsi dengan baik.
Tiada maklumat sama ada rekaan “tong sampah” Mac Pro akan dikekalkan. Yang pasti rekaan komponen modular akan dikekalkan bagi memudahkan perkakasan ditukar sepanjang hayatnya kelak.
Dengan penangguhan ini, ia sekaligus menawarkan lebih masa untuk pembangunan, selain memudahkan lagi mereka menjual iMac Pro baru yang turut menawarkan spesifikasi tinggi berkuasa.