Aplikasi Pihak Ketiga Untuk Twitter Mungkin Tidak Berfungsi Dengan Lancar Selepas Jun

Aplikasi Pihak Ketiga Untuk Twitter Mungkin Tidak Berfungsi Dengan Lancar Selepas Jun

Diterbitkan pada Apr 7, 2018 oleh .

Twitter mempunyai sejumlah aplikasi pihak ketiga seperti Tweetbot, Talon, Twitterrific dan Tweetings. Aplikasi ini bergantung kepada API daripada Twitter untuk beroperasi, sekaligus menawarkan pengalaman yang baik kepada pengguna.

Namun, ia mungkin berubah tidak lama lagi. Selepas 19 Jun 2018 kelak, Twitter akan membuang sokongan “perkhidmatan penstriman” yang ditawarkan kepada pembangun – sekaligus menjadikan ciri seperti push-notification, dan kemaskini garis-masa tidak berjalan dalam bentuk masa-nyata.

Dengan perubahan ini, ia membuatkan aplikasi Twitter pihak ketiga tidak menawarkan notifikasi kepada seseorang pengguna dengan baik – selain mungkin menjadikan paparan garis-masa mengalami sedikit lengah masa berbanding kebiasaan. Hal ini mungkin tidak digemari pengguna klien Twitter pihak ketiga memandangkan mereka mungkin akan mengalami sedikit kelewatan dalam mengikuti berita-berita terkini.

Pembangun aplikasi pihak ketiga untuk Twitter kini dilihat bersatu untuk memastikan Twitter mengatasi masalah ini, atau menawarkan penyelesaian yang sesuai. Pada masa yang sama, sebuah laman khusus disediakan dalam memastikan pengguna mengetahui masalah yang mungkin dialami mereka menjelang bulan Jun kelak.


TIPS & ULASAN