Carian
Apple Disaman Kerana Pengimbas Nadi Apple Watch Didakwa Melanggar Paten
April 9, 2018 Effi Saharudin

Apple Watch ialah peranti boleh pakai dengan angka jualan tertinggi sepanjang 2017. Kepopularannya adalah kerana rekaan yang menarik, kepelbagaian aksesori dan pengimbas nadi yang terbaik di dalam kelasnya. Terkini Apple berhadapan dengan saman yang difailkan oleh Omni MedSci yang mendakwa Apple Watch melanggar paten milik mereka.

Omni MedSci memfailkan saman di Texas ke atas Apple di atas penggunaan paten pengimbas nadi  yang digunakan pada Apple Watch. Menurut Omni MedSci, mereka melakukan pertemuan dengan Apple pada tahun 2014 dan 2016 mengenai perlesenan paten tanpa sebarang persetujuan di antara kedua-dua pihak. Sungguhpun begitu Apple didakwa menggunakan paten Omni MedSci tanpa kebenaran.

Ini bukan saman pertama yang difailkan oleh Omni MedSci  ke atas pengeluar. Mereka juga pernah mamfailkan saman ke atas Fujitsu, Alcatel-Lucent, Huawei, Nokia, dan Siemens. Kebanyakan paten adalah berkenaan teknologi laser dan optik.

Pemilik Omni MedSci  ialah Muhammad Islam yang merupakan seorang “pakar paten” yang mengajar di University of Michigan dengan ratusan paten di dalam genggaman beliau. Antara subjek yang diajar beliau ialah bagaimana memfailkan paten kepada pelajar jurusan kejuruteraan di universiti tersebut.

Komen