Cari @ Amanz

Modus operandi AMD apabila melancarkan siri kad grafik baru biasanya ialah mereka akan melancarkan satu atau dua kad grafik generasi baru, dan selainnya, mereka akan menggunakan GPU generasi sebelum ini yang diperbaiki sedikit prestasinya.

Nampaknya syarikat tersebut bakal melakukannya sekali lagi, kerana mereka baru sahaja menaikkan sebuah laman sementara untuk sebuah siri kad grafik baru yang dinamakan AMD Radeon RX 500X di laman web rasmi mereka.

Buat masa ini, tiada sebarang butiran khusus yang hadir mengenai kad grafik ini, tetapi terdapat banyak ura-ura yang mengatakan bahawa terdapat kemungkinan besar bahawa ia akan hadir dengan prestasi lima ke enam peratus lebih baik daripada siri kad grafik AMD Radeon RX 500 sebelum ini.

Ia juga dikatakan masih menggunakan cip grafik Polaris, dan bukan Vega yang digunakan pada GPU AMD Radeon RX Vega, kad grafik paling berkuasa AMD pada tahun lepas.

Dalam pada itu, ramai juga yang berpendapat bahawa siri kad grafik ini akan dilancarkan pada bulan Mei/Jun kelak, dan berkemungkinan besar akan diumumkan secara rasmi pada acara Computex Taipei nanti.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd