Lazada sebelum ini sedia menggunakan ciri Hellopay untuk memudahkan transaksi pembayaran pada platform berkenaan, sebelum ia diubah kepada Alipay. Kini, sementara Alipay menawarkan kemudahan pembayaran melalui bank-bank atas-talian, pihak Lazada turut telah mula mengaktifkan Lazada Wallet yang turut menambah pilihan pembayaran baru.
Lazada Wallet membolehkan anda menambah dana / tambah-nilai pada akaun anda, dan seterusnya menggunakan ia untuk tujuan pembayaran ketika membeli di laman Lazada. Pengguna turut diberikan ganjaran berbentuk pulangan tunai ketika menggunakannya.
Pihak Lazada sendiri kini memaparkan pilihan Lazada Wallet sebagai pilihan pembayaran utama di laman mereka, termasuk mempromosikannya meluas melalui aplikasi mudah-alih Lazada.
Ia tidak diketahui lagi sama ada Lazada Wallet akan dibuka penawarannya untuk penggunaan di luar Lazada atau tidak dalam masa akan datang.
Bagi anda sendiri, adakah anda akan mula menggunakan Lazada Wallet, atau kekal menggunakan pembayaran melalui bank atas-talian seperti kebiasaan?