Cari @ Amanz

Jika anda ingin berjinak-jinak dengan dunia fotografi, dan sedang mencari sebuah kamera yang hadir dengan harga mampu milik dan mudah untuk digunakan, Canon Malaysia baru sahaja mengumumkan kehadiran tiga kamera untuk pasaran tempatan, iaitu kamera padat nircermin Canon EOS M50 dan juga kamera DSLR Canon EOS 1500D dan 3000D.

Canon EOS M50 bukan sahaja sebuah kamera yang padat, ia juga hadir dengan beberapa ciri-ciri yang membuatkannya sebuah kamera yang cukup menarik.

Kamera ini hadir dengan sensor APS-C CMOS bersaiz 24.1MP. cip pemprosesan imej DIGIC 8 terbaru oleh Canon dan kebolehan untuk merakam video 4K. Ia juga menyokong lensa EF-M Canon yang dibina khusus untuk kamera siri EOS M ini.

Kamera Canon M50 ini juga hadir dengan beberapa rekaan yang sedikit berbeza berbanding dengan Canon EOS M6 yang dilancarkan pada tahun lepas, termasuklah kehadiran electronic viewfinder (EVF) dan juga lokasi butang yang sedikit berbeza berbanding dengan model sebelum ini.

Dalam pada itu, ia juga didatangkan dengan sistem autofokus Dual CMOS AF yang membolehkan pengguna menangkap gambar yang tajam walaupun subjek yang ingin diambil gambarnya bergerak dengan laju. Kamera ini juga mempunyai ISO normal setinggi 25,600, dan boleh dilanjutkan lagi sehingga 51,200.

Bagi mereka yang ingin menjinakkan diri dengan kamera DSLR pula, Canon Malaysia juga mengumumkan kehadiran kamera Canon EOS 1500D dan 3000D didalam kategori mampu milik.

Canon EOS 1500D dan 3000D masing-masing hadir dengan sensor APS-C CMOS bersaiz 24.1MP dan 18.0MP, menggunakan cip pemprosesan imej DIGIC 4+, dan mampu merakam video pada resolusi Full HD.

Dari segi sistem autofokus, kedua-dua kamera ini menggunakan Center Cross-type AF dan hadir dengan 9 titik autofokus yang cepat menangkap fokus subjek tidak kira jika anda mengambil gambar ataupun video.

Kedua-dua kamera ini mempunyai nilai ISO setinggi 12800, dan juga ciri Features Guide yang memudahkan pengguna-pengguna baru untuk menggunakan ciri-ciri Scene Mode dan juga Creative Filter yang bertepatan dengan situasi dimana kamera-kamera ini digunakan.

Kesemua kamera-kamera Canon M50, EOS 1500D dan 3000D ini juga hadir dengan ciri perkongsian video dan gambar melalui WiFi dan NFC, manakala kamera M50 juga hadir dengan ciri perkongsian melalui Bluetooth.

Menurut Canon Malaysia lagi, kamera-kamera ini akan mula dijual di pasaran tempatan bermula bulan April, dan akan hadir dengan beberapa pakej. Tanda-tanda harga kamera ini adalah seperti berikut:

  • Canon EOS M50D (Badan kamera sahaja) – RM2799
  • Canon EOS M50D (EF-M 15-45) – RM3199
  • Canon EOS M50D (EF-M 15-45 + EF-M 55-200) – RM4299
  • Canon EOS 1500D (EFS 18-55 IS II) – RM2349
  • Canon EOS 3000D (EFS 18-55 DC III) – RM1799
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd