Pelekat Mengesan Glukosa Membolehkan Pesakit Kencing Manis Mengesan Tahap Gula Tanpa Perlu Mencucuk Jari

Pelekat Mengesan Glukosa Membolehkan Pesakit Kencing Manis Mengesan Tahap Gula Tanpa Perlu Mencucuk Jari

Diterbitkan pada Apr 10, 2018 oleh .

Sebanyak 3.6 juta rakyat Malaysia menghidap penyakit kencing manis (diabetes) mengikut angka yang dikongsi Kementerian Kesihatan tahun lalu. Lebih mengejutkan terdapat 1.4 juta individu yang tidak menyedari mereka menghidap penyakit ini kerana tidak melakukan ujian kesihatan. Sebagai anak pesakit kencing manis, setiap hari kami melihat ayah mencucuk jari setiap hari bagi mengesan tahap gula di dalam darah.

Di masa hadapan keperluan mencucuk jari ini tidak lagi perlu dilakukan. Sebaliknya penghidap kencing manis hanya perlu memakai pelekat pada permukaan kulit yang mengesan tahap glukosa. Pelekat ini dibangunkan oleh University of Bath dan diperbuat daripada bahan grafena.

Sensor pada pelekat menggunakan arus elektrik yang kecil untuk menyedut glukosa dari sel tubuh. Ia kemudian disimpan sebelum diuji bagi mengetahui kandungan gula dalam tubuh. Dengan ini tiada lagi keperluan mencucuk hujung jari beberapa kali sehari seperti sekarang.

Pelekat ini masih lagi dalam bentuk prototaip. Tetapi penyelidik berharap ia dapat dikomersialkan kerana ia mampu menyukat tahap gula setiap 15 minit sepanjang hari. Dengan teknologi peranti berhubung ia kemudian boleh menghantar amaran kepada pemakai apabila mengesan tahap gula yang rendah atau tinggi sebelum terlambat.


TIPS & ULASAN