Carian
Ulasan Thunderobot TR Dino – Komputer Riba Gaming Berkuasa Pada Harga Bawah RM9000
April 13, 2018 Fahim Zahar

Thunderobot adalah komputer riba yang dibina oleh syarikat elektronik Haier. Ia dilancarkan di pasaran Malaysia pada bulan Januari yang lalu. Thunderobot memfokuskan kepada komputer riba dan juga aksesori gaming pada harga yang boleh dikatakan mampu milik.

Thunderobot membawa masuk empat model komputer riba gaming ke pasaran Malaysia dan antaranya ialah Thunderobot TR Dino. Model TR Dino ini adalah model pada kelas paling atas dalam keluarga Thunderobot dan ia dipasarkan pada harga RM8,899 di Malaysia. Mari kita lihat jika komputer riba TR Dino oleh Thunderobot ini benar-benar sesuai untuk mereka yang mementingkan prestasi tinggi ketika sesi permainan video.

Spesifikasi

Thunderobot TR Dino
Skrin 15.6″ IPS CLD 1080P 120 Hz
Pemproses Intel Core i7-7700HQ
Kad Grafik NVIDIA GeForce GTX 1070 8GB
RAM 2x 8GB DDR4
Storan 1TB HDD + SDD M.2 256GB
Sistem Operasi Microsoft Windows 10
I/O Mini DP 1.3 x1
USB-C 3.1 x1
USB-A 3.1 x3
Pembaca kad SD x1
Bicu Audio 3.5mm x1
Video HDMI 12.0
Lain-lain Intel® Wi-Fi Dual Streams + BT4.2
Harga RM 8899

komputer riba Thunderobot TR Dino ini hadir dengan paparan skrin bersaiz 15.6 inci IPS LCD dengan resolusi HD peniuh (1920×1080) IPS dengan kadar segar semula 120Hz.

Ia dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel generasi ke-7 Intel Core i7-7700HQ, memori sebesar 16GB DDR4, storan256GB SSD M.2  dan storan 1TB HDD. Untuk memperkasakan bahagian grafik laptop ini, Thunderobot memuatkan sebuah kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1070 yang hadir dengan memori sebesar 8GB GDDR5 yang secara teorinya cukup bagus untuk memainkan kebanyakan permainan-permainan komputer yang terbaru pada resolusi 1080P pada tetapan tertinggi.

Dari segi pilihan  I/O pula, komputer riba Thunderobot TR Dino ini dilengkapi dengan jumlah port yang cukup banyak. Tedapat tiga port USB 3.0 Type-A, sebuah port USB 3.1 Type-C, sebuah port HDMI bersaiz besar, sebuah port Mini Display, sebuah port LAN RJ45, sebuah pembaca kad SD dan juga bicu audio 3.5mm.

Pembesar suara komputer riba ini diletakkan pada bahagian atas papan kekunci dan pada bahagian komputer riba terdapat satu subwoofer bersaiz kecil. Bagi mereka yang mementingkan kualiti bunyi, sayang sekali komputer riba ini tidak mempunyai pembesar suara yang berkualiti. Bunyi yang dihasilkan seolah-olah tiada bass atau clarity dan ia kedengaran sedikit tenggelam. Suara pada pembesar suara komputer riba ini juga tidak kuat walaupun pada tetapan paling tinggi.

Reka Bentuk

Rekabentuk komputer riba Thunderobot TR Dino ini mempunyai rekaan asas yang menunjukkan ianya adalah satu mesin untuk permainan video. Ia tidak begitu ganas dan juga tidak banyak komponen bersegi. Cangkerangnya diperbuat daripada plastik dan mempunyai kemasan kelihatan seperti aluminium.

Cangkerang bahagian papan kekunci dan komponen laptop ini juga diperbuat daripada plastik, manakala penutup paparan pula menggunakan plastik dan juga mempunyai bingkai yang agak tebal. Masalah kelenturan pada skrin juga tidak terasa. Ketika kerja menaip, skrin komputer riba ini tidak bergoyang kerana rekaan bingkai yang tebal serta berat.

Disebabkan kemasan komputer riba ini plastik, sudah pasti jika digunakan pada jangka hayat yang lama warna-warna kemasan komputer riba ini akan semakin pudar. Lubang udara untuk penyejukan komputer riba ini pula terletak di bahagian belakang dan di sisi kiri. Dengan ini hembusan udara panas tidak akan mengganggu pengguna asalkan mereka tidak memasang tetikus dan bertangan kidal.

Papan Kekunci Dan Pad Sesentuh

Papan kekunci laptop ini tidak beberapa selesa untuk menaip. Kekunci Caps dan Num Lock kerap kami tertekan secara tidak sengaja ketika sedang melakukan kerja-kerja menaip. Bermain video seperti PUBG atau Need For Speed Overrun menggunakan papan kekunci juga kurang selesa kerana posisi dan saiz kekunci anak panah kurang sesuai.

Jika anda jenis yang suka membuat kerja atau bermain permainan komputer di dalam gelap, panel belakang mempunyai LED biru yang tidak boleh dikawal keterangannya. Tetapi lampu latar papan kekunci komputer riba ini boleh diubah dengan kawalan pada perisian Control Panel terbina. Lampu LED pada butang kuasa komputer riba ini juga turut boleh dikawal dengan perisian yang sama.

Lebih menarik sekali, touchpad yang digunakan adalah diperbuat daripada kaca dan ia turut menawarkan lampu latar RGB yang boleh dikawal. Ia juga menggunakan driver Windows Precision sekaligus menyokong kawalan gesture standard Windows 10.

Ciri-Ciri

Komputer riba Thunderobot TR Dino ini sebuah komputer riba yang ringkas dan mudah digunakan, jadi ia tidak mempunyai terlalu banyak gimik untuk diperkatakan. Walaupun begitu, ia tetap mempunyai beberapa ciri-ciri yang membuatkan pengalaman menggunakan laptop ini pengalaman yang cukup menarik.

Pertama ialah penggunaan kad grafik GeForce GTX 1070 dengan RAM GDDR5 8GB serta RAM sebesar 16GB membuatkan masalah pemasanan jarang berlaku. Sewaktu kami rancak bermain permainan-permainan komputer dengan laptop ini, bunyi kipas daripada laptop ini akan kedengaran kuat kerana ia tidak tertutup dengan pembesar suara komputer riba ini. Penggunaan fon kepala juga boleh membantu anda daripada mendengar bunyi bising tersebut.

Salah-satu masalah terbesar mengenai penggunaan komputer riba ini ialah tidak menyokong sambungan WiFi 5GHz. Akan tetapi sambungan WiFi asas yang terbina cukup memuaskan apabila memuat turun fail-fail, mengemaskini Windows dan juga memuat turun permainan video terasa laju berbanding komputer riba lain.

Bagi mereka yang selalu menggunakan komputer riba untuk tugas-tugas menyunting gambar ataupun video, kelajuan penghantaran data yang pantas adalah sesuatu yang sangat diperlukan. Port-port USB 3.0 Type-A mempunyai kelajuan menghantar data setinggi 500-600MB/s, manakala port USB 3.1 Type-C pula mempunyai kadar penghantaran data setinggi 1GB/s.

Ujian Tanda Aras

Antara ujian tanda aras yang kami lakukan adalah terhadap kelajuan membaca dan menulis SSD dan kelajuan DirectX12.

Ujian kelajuan membaca dan menulis SSD M.2 komputer riba ini dilakukan oleh Crystal Disk Mark. Kelajuan yang diperoleh untuk membaca dan menulis adalah 560.8/MB/s dan 533.0/MB/s.

Ujian DirectX12 ini dilakukan menggunakan Time Spy oleh 3DMARK. Markah keseluruhan yang diperoleh adalah 5239.

Pengalaman Pengguna

Komputer riba Thunderobot TR Dino ini sebuah komputer riba gaming yang hadir dengan cukup ciri-ciri penting dan utama, dan pada pendapat kami, ini adalah sesuatu yang agak baik. Penggunaan CPU Intel Kaby Lake dan kad grafik NVIDIA GTX 1070 bermakna beberapa permainan-permainan komputer terbaru boleh dimainkan dengan tetapan dan resolusi  paparan yang cukup tinggi, khususnya jika anda seorang yang gemar bermain game seperti PUBG, Overwatch, Fortnite ataupun Need For Speed Overrun, komputer riba ini tiada sebarang masalah untuk bermain permainan sedemikian pada tetapan yang maksima

Dari segi penggunaan harian. kami tidak menghadapi sebarang masalah menggunakan komputer riba ini. Dari segi pelayaran web, menonton video resolusi tinggi (Full HD, 4K) dan sebagainya. Jika anda menggunakan komputer riba ini sebagai untuk kegunaan umum untuk aktiviti-aktiviti bekerja dan juga permainan komputer, komputer riba TR Dino ini sebuah komputer riba yang cukup sesuai sekali untuk tugas-tugas tersebut.

Jangka-hayat bateri komputer riba ini juga boleh dikatakan agak bagus kerana dengan kegunaan biasa, ia mampu bertahan selama 6-7 jam dengan satu pengecasan penuh. Jangka-hayat bermain permainan video pula boleh dianggarkan berada di dalam lingkungan 2-3 jam, bergantung kepada permainan video yang dimainkan. Pengecas yang diberikan agak besar dan berat. Ia mengambil masa lebih kurang 3 jam untuk pengecasan penuh. Port Type-C yang tersedia pula hanya menyokong untuk membaca dan menulis data dan tidak menyokong Thunderbolt 3 atau digunakan untuk pengecas.

Dari segi skrin pula, laptop TR Dino hadir dengan paparan IPS dengan resolusi Full HD (1920×1080) yang cukup terang. Ia juga mempunyai sudut pandangan yang lebar dan ini membolehkan anda berkongsi skrin dengan orang lain tanpa sebarang masalah. Untuk komputer riba yang dikeluarkan pada tahun 2018, saiz bezel komputer riba ini agak besar dan mengganggu pengalaman keseluruhan. Skrin komputer riba ini turut menyokong kadar segar 120Hz tetapi ia tidak menggunakan sebarang teknologi paparan seperti NVIDIA GSync atau AMD Freesync. Lokasi webcam juga diletakkan pada lokasi yang normal iaitu pada bahagian bingkai atas.

Kesimpulan

Komputer riba Thunderobot TR Dino ini merupakan sebuah komputer riba yang cukup bagus untuk kegunaan kerja seharian dan juga untuk bermain permainan komputer secara serius. Dari segi pemprosesan komputer dan grafik, laptop ini hadir dengan spesifikasi yang terkini dan juga cukup berkuasa.

Sayang sekali, pembesar suara yang kurang berkualiti dan papan kekunci yang terasa murah ini membuatkan penggunaan komputer riba ini terasa bosan.

Akan tetapi ini tidak menghalang komputer riba ini menjadi sebuah komputer riba yang cukup bagus untuk kegunaan seharian, tidak kira ia untuk kerja ataupun gaming. Saiznya agak besar, ia mempunyai berat hampir 3KG iaitu 2.65KG dan pengecas yang disediakan turut mempunyai saiz yang besar dan lebar.

Jika anda berminat untuk membeli komputer riba ini, ia sudahpun hadir di pasaran tempatan dengan tanda harga RM8,899. Dengan pembelian komputer ini kami rasa ia sudah cukup bagus untuk bermain permainan video pada resolusi dan tetapan yang tinggi. Kami mencadangkan anda menggunakan set fon-kepala ataupun papan kekunci lain untuk memberi pengalaman penggunaan yang lebih menarik.

PRO KONTRA
  • Spesifikasi CPU dan GPU yang terkini.
  • Rekaan yang menarik.
  • Paparan skrin yang terang.
  • Pengalaman gaming yang cukup baik.
  • Sistem LED RGB yang menarik.
  • Pembesar suara yang lemah.
  • Papan kekunci yang tidak selesa.
  • Berat.
  • Binaan plastik yang terasa murah.

Komen