Pada minggu lepas, AMD dilihat meletakkan laman sementara untuk siri kad grafik terbaru mereka, AMD Radeon RX 500X, dan kini nampaknya syarikat tersebut telahpun mengumumkan kesemua kad-kad grafik terbaru mereka pada laman web mereka.
Kad-kad grafik ini termasuklah kad grafik AMD Radeon RX 580X, RX 570X, RX 560X, RX 550X dan RX 540X. Banyak ura-ura yang diperkatakan mengenai kad-kad grafik ini, tetapi apabila disemak semula dengan kad-kad grafik sebelum ini, nampaknya siri RX 500X ini hanyalah penjenamaan semula (OEM) kad-kad grafik siri RX 500.
Melalui laman web AMD, dapat dilihat bahawa untuk kebanyakan kad-kad grafik ini, perbezaan diantara kedua-dua siri tersebut hanyalah tanda ‘X’ dibelakang nama mereka. Dari segi spesifikasi dan jenis GPU yang digunakan, siri kad grafik RX 500X ini masih lagi menggunakan cip grafik ‘Polaris’.
Satu-satunya kad grafik yang hadir dengan perbezaan yang dapat dilihat ialah kad grafik AMD Radeon RX 550X, yang hadir dengan pilihan 8 ataupun 10 Compute Unit, dan kelajuan pemprosesan yang dinaikkan sedikit kepada 1287MHz berbanding dengan 1183MHz sebelum ini.
Buat masa ini, pihak AMD masih belum mengumumkan lagi bilakah mereka akan mengeluarkan siri kad grafik “baru” ini untuk jualan umum.