AMD Memperkenalkan CPU Ryzen Generasi Kedua AMD Ryzen Desktop 2000 – Hadir Dengan Ciri-Ciri Baru
AMD

AMD Memperkenalkan CPU Ryzen Generasi Kedua AMD Ryzen Desktop 2000 – Hadir Dengan Ciri-Ciri Baru

Diterbitkan pada Apr 13, 2018 oleh .

Setahun selepas AMD mengumumkan CPU AMD Ryzen mereka, syarikat pembuat cip pemprosesan dari Texas tersebut nampaknya hadir dengan siri CPU baru, dan merupakan diantara rahsia yang cukup sukar sekali untuk disimpan oleh mereka.

Siri CPU ini menggunakan rekaan pemprosesan yang dinamakan Zen+, yang dibina dengan proses 12nm+ Global Foundries yang bukan sahaja menjanjikan prestasi yang lebih pantas, tetapi juga hadir dengan beberapa ciri-ciri yang diperbaiki berbanding dengan generasi yang lepas.

Dengan pelancaran ini, AMD akan hadir dengan empat buah CPU yang terbaru, termasuklah AMD Ryzen 7 2700X, AMD Ryzen 7 2700, AMD Ryzen 5 2600X dan AMD Ryzen 2600 untuk pasaran global.

CPU-CPU AMD Ryzen 7 2700X dan Ryzen 7 2700 hadir dengan lapan teras fizikal dan 16 bebenang kuasa. Dari segi prestasi, CPU Ryzen 7 2700X mempunyai kelajuan asas 3.7GHz dan kelajuan Turbo Boost 4.3GHz, manakala Ryzen 7 2700 mempunyai kelajuan asas 3.2GHz dan kelajuan Turbo Boost 4.1GHz.

AMD Ryzen 5 2600X dan Ryzen 5 2600 pula hadir dengan enam teras fizikal dan 12 bebenang kuasa. CPU Ryzen 5 2600X mempunyai kelajuan asas 3.6GHz dan kelajuan Turbo Boost 4.2GHz, manakala CPU Ryzen 5 2600 pula mempunyai kelajuan asas 3.4GHz dan kelajuan Turbo Boost 3.9GHz.

Dari segi ciri-ciri baru, CPU AMD Ryzen+ Hadir dengan teknologi SenseMI yang baru, yang terdiri daripada Precision Boost 2 dan juga Xtended Frequency Range 2 (XFR2).

Sistem Precision Boost ini merupakan sebuah ciri dimana CPU Ryzen ini akan meningkatkan kelajuan secara automatik bergantung kepada prestasi yang diperlukan, tetapi Precision Boost generasi pertama mempunyai sebuah masalah dimana jika jumlah teras yang diperlukan untuk menjalankan apa-apa tugas melebihi dua teras, CPU tersebut terus akan dikunci pada kelajuan 3.7GHz.

Dengan Precision Boost 2, kelajuan CPU kini tidak akan jatuh dengan begitu mendadak apabila lebih daripada dua teras digunakan untuk menjalankan apa-apa tugas, dan prestasi CPU akan berubah mengikut suhu CPU, voltan yang digunakan dan juga kelajuan VCORE. Dalam pada itu, prestasi CPU siri ini juga masih akan meningkat setiap 25MHz seperti CPU Ryzen generasi pertama.

Xtended Frequency Range 2 (XFR2) juga merupakan sebuah ciri baru dibawah SenseMI dimana kelajuan CPU akan ditingkatkan setinggi yang mungkin apabila pengguna menggunakan penyejuk CPU yang lebih mahal dan mampu menggerakkan haba daripada CPU dengan lebih cepat.

AMD juga menyatakan bahawa untuk CPU-CPU Ryzen+, mereka menggunakan penyebar haba yang dipateri (soldered heat spreader) aloi indium yang mengurangkan haba sebanyak 10 Celcius, berbanding dengan Intel yang menggunakan penyebar haba Thermal Interface Material yang tidak dipateri.

Sama seperti CPU AMD Ryzen sebelum ini, siri CPU AMD Ryzen+ menggunakan soket AM4, dan ia boleh digunakan dengan papan induk seperti X370 dan sebagainya, tetapi untuk menampung ciri-ciri baru seperti Precision Boost 2 dan XFR 2, AMD memperkenalkan papan induk siri baru melalui cipset X470.

Menurut AMD lagi, buat masa terdekat ini, hanya papan-papan induk X470 akan dijual di pasaran-pasaran dunia, dan siri-siri lain seperti siri B dan A akan mula dijual kemudian.

AMD Malaysia juga telahpun mengumumkan tanda-tanda harga untuk siri CPU AMD Ryzen+ ini, dan buat masa ini, inilah empat CPU AMD Ryzen+ yang akan dijual di pasaran tempatan pada 19 April kelak:

  • AMD Ryzen 7 2700X – RM1599
  • AMD Ryzen 7 2700 – RM1429
  • AMD Ryzen 5 2600X – RM1059
  • AMD Ryzen 5 2600 – RM 899

TIPS & ULASAN