Cari @ Amanz

Siri CPU AMD Ryzen Desktop 2000 sudahpun diumumkan oleh pihak AMD secara rasmi, dan melaluinya, mereka dilihat melancarkan empat siri CPU desktop berkuasa tinggi melalui AMD Ryzen 7 2700X, Ryzen 2700, 2600X dan 2600.

Salah satu soalan yang ramai orang menanyakan ialah samada CPU-CPU ini akan hadir dengan penyejuk CPUnya sendiri, ataupun adakah para pengguna perlu mengeluarkan wang untuk penyejuk yang berasingan.

Pihak AMD menjawab bahawa kesemua CPU-CPU AMD Ryzen Desktop 2000 yang akan dilancarkan akan hadir dengan penyejuk CPU AMD Wraith. Walaupun begitu, bergantung kepada model CPU yang anda beli, ia akan hadir dengan model penyejuk yang berbeza juga.

CPU AMD Ryzen 7 2700X dikatakan akan hadir dengan penyejuk CPU kelas tertinggi mereka, iaitu Wraith Prism yang hadir dengan sistem pencahayaan RGB yang menarik. CPU AMD Ryzen 7 2700 dan AMD Ryzen 5 2600X pula akan menerima penyejuk CPU Wraith Spire, manakala CPU AMD Ryzen 5 2600 pula akan hadir dengan penyejuk CPU Wraith Stealth.

Apabila ditanya jika mereka akan menjual penyejuk-penyejuk CPU ini, terutamanya Wraith Prism secara berasingan, AMD berkata bahawa mereka tiada pelan untuk menjualnya buat masa ini kerana penyejuk-penyejuk ini hanya boleh digunakan dengan CPU AMD Ryzen.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd