Dengan pelancaran CPU AMD Ryzen Desktop 2000, AMD dilihat menyerang pasaran CPU tahap tertinggi dengan CPU-CPU AMD Ryzen 7 2700X, Ryzen 7 2700, Ryzen 5 2600X dan Ryzen 5 2600.
Untuk CPU kelas pertengahan pula, nampaknya AMD sudahpun mencaturkan langkah awal melalui pengumuman APU AMD Ryzen 5 2400G dan Ryzen 3 2200G yang menggabungkan CPU AMD Ryzen generasi pertama dan juga cip pemprosesan grafik Vega.
Di acara pengumuman AMD Ryzen Desktop 2000 di Bangkok, pihak AMD menyatakan bahawa APU-APU Ryzen ini akan menggantikan dua CPU AMD Ryzen, iaitu AMD Ryzen 5 1400 dan juga AMD Ryzen 3 1200.
Dalam pada itu, mereka juga menyatakan bahawa dua CPU AMD Ryzen generasi pertama akan diteruskan penjualannya, iaitu AMD Ryzen 5 1500X dan juga AMD Ryzen 3 1300X. Kedua-dua CPU ini dilihat sebagai cip pemprosesan desktop kos rendah, dan hadir dengan fungsi-fungsi yang menarik seperti Precision Boost dan XFR yang boleh digunakan untuk meningkatkan prestasi CPU-CPU ini.