Black Shark Dilancarkan – Peranti Menyasarkan Peminat Permainan Video, Disokong Xiaomi

Black Shark Dilancarkan – Peranti Menyasarkan Peminat Permainan Video, Disokong Xiaomi

Diterbitkan pada Apr 13, 2018 oleh .

Telefon pintar Black Shark akhirnya dilancarkan secara rasminya hari ini, di mana peranti pertama mereka yang dilancarkan hari ini adalah menyasarkan golongan peminat permainan video. Pengenalan peranti ini turut dilengkapi dengan penawaran dengan aksesori alat kawalan fizikal yang ditawarkan secara berasingan.

Bagi yang tidak mengenali akan jenama Black Shark ini, ia merupakan salah satu jenama pengeluar peranti memfokuskan kepada multimedia dan permainan video – serta menerima sokongan daripada Xiaomi.

Dari segi spesifikasi, ia hadir dilengkapi skrin 5.99-inci FHD+, dijana pemproses Snapdragon 845, memori sehingga 8GB RAM dan storan sehingga 256 GB. Kamera utama adalah sebesar 12+20 Megapixel f/1.75+f/1.75 dan kamera hadapan pula sebesar 8-Megapixel f/2.2. Peranti menggunakan Android Oreo dengan pelancar MIUI. Menguasai peranti ini ialah bateri sebesar 4000 mAh dengan sokongan pengecasan pantas QuickCharge 3.0.

Rekaan tubuh peranti kelihatan agak agresif dengan rekaan antena berbentuk X serta logo Black Shark yang berkelip-kelip. Lampu ini berkelip ketika sesi permainan dan apabila pengguna menerima notifikasi. Terdapat sokongan pembesar suara stereo dan pengimbas cap jari pada bahagian hadapan.

Sistem penyejukan cecair disertakan bagi memastikan masalah pemanasan peranti tidak akan berlaku. Daripada contoh yang diberikan, ia dikatakan peranti ini boleh memainkan Arena of Valor selama 5 jam lamanya.

Aksesori alat kawalan khas bersambung pada bahagian atas peranti. Ia hadir dengan satu pengawal analog dan beberapa butang fizikal. Dengan menggunakan alat kawalan ini, pemain boleh melakukan kawalan lebih jitu berbanding kawalan di atas skrin. Pengawal permainan ini mempunyai bateri 150 mAh terbina yang membekalkan kuasa sehingga 30 jam.

BlackShark

Di China, Black Shark dijual pada harga RMB 2999 (~RM1,849.93) untuk versi 6GB/64Gb dan RMB 3499 (~RM 2159) untuk versi 8GB/128GB. Pengawal permainan tambahan pula boleh dibeli pada harga RMB 179 (~RM110.42). Ia tidak diketahui sama ada syarikat yang disokong oleh Xiaomi ini akan memasarkan peranti mereka ke pasaran global atau sebaliknya.


TIPS & ULASAN